Zuraida Menandatangani Bon PKR Secara Sukarela

0
140
Zuraida mempunyai pengetahuan tentang bon dan menandatanganinya secara sukarela
Zuraida mempunyai pengetahuan tentang bon dan menandatanganinya secara sukarela

PKR menyaman Zuraida RM10j setelah melanggar syarat bon kerana meninggalkan parti

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa bekas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin telah menandatangani bon dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara sukarela sebagai memenuhi syarat perjanjian, enam tahun lalu.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, memberitahu mahkamah perkara itu adalah syarat yang dikenakan kepada ahli PKR dan perlu ditandatangani oleh setiap calon parti sebelum bertanding pada PRU14, 2018.

Saifuddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, semasa penyataan saksi ketika perbicaraan yang dijalankan dalam talian, berkata bahawa defendan (Zuraida) menandatangani bon tersebut secara sukarela.

Saifuddin Nasution Ismai, Setiausaha Agung PKR, merupakan saksi pertama dalam perbicaraan kes saman PKR terhadap Zuraida Kamaruddin

Beliau menyatakan demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama dalam perbicaraan saman PKR terhadap Zuraida bagi menuntut RM10 juta atas dakwaan melanggar kontrak bon apabila menyertai Bersatu susulan Langkah Sheraton pada akhir Februari 2020.

Saifuddin berkata, beliau tidak menerima sebarang surat daripada Zuraida selepas bekas Naib Presiden PKR itu meninggalkan parti.

Zuraida dilaporkan berkata bahawa beliau menandatangani bon tersebut ketika berada di bawah tekanan.

Zuraida Mempunyai Pengetahuan Penuh Mengenai Bon yang Ditandatanganinya

Menurut Saifuddin lagi, Zuraida, sebagai Naib Presiden parti  pada masa itu, mempunyai pengetahuan penuh bahawa setiap calon parti dimestikan menandatangani bon itu. Zuraida juga merupakan ahli Biro Politik parti, katanya lagi.

Ujar Saiufuddin, Zuraida juga menghadiri mesyuarat Biro Politik di ibu pejabat PKR, pada 17 April 2018 untuk berbincang mengenai persediaan berdepan pilihan raya umum.

Zuraida Tidak Pernah Membantah

“Tidak pernah pada bila-bila masa beliau mengemukakan sebarang bantahan,” kata Saifuddin.

Menurut Saifuddin, antara perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut adalah manual untuk calon yang disediakan Setiausaha Agung Parti, di mana diperincikan bahawa setiap calon dimestikan menandatangani bon tersebut sebelum surat watikah calon dikeluarkan untuk bertanding pada pilihan raya.

Tambahnya lagi, Zuraida tidak membangkitkan apa jua bantahan ketika mesyuarat biro itu. Sebaliknya, beliau bersetuju syarat seumpama itu diperlukan untuk “mengawal tingkah laku (calon).”

Menurut laporan di sebuah media portal, Zuraida disaman oleh PKR sebanyak RM10juta kerana melanggar syarat bon yang telah ditandatanganinya dengan parti tersebut.

Saifuddin berkata nilai RM10 juta itu dikenakan bagi menjaga imej parti PKR yang ditubuhkan pada 1998 dan bon itu adalah kontrak sah kerana ada “tawaran” daripada PKR dan “penerimaan” oleh Zuraida.

Menurutnya lagi, PKR secara konsisten telah meraih sokongan orang ramai sejak PRU10, pada 1999.

“Contohnya, parti dan rakan gabungan membentuk kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, dan Perak selepas PRU12, pada 2008,” kata beliau.

Bekas ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu juga tidak bersetuju dengan pihak pembelaan yang mengatakan kontrak itu melanggar hak Zuraida untuk berpersatuan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Saifuddin berpendapat, kerana Zuraida menyertai Bersatu (selepas meninggalkan PKR), Zuraida bertanggungjawab untuk membayar nilai bon itu kepada parti.

Tambahnya lagi, pembelotan wakil rakyat dipilih seperti Zuraida yang melompat ke Bersatu untuk membentuk gabungan baharu dan kerajaan persekutuan, pada 2020, merupakan ancaman kepada demokrasi berparlimen.

Ujar beliau, berikutan pembelotan itu, parti kehilangan kelebihan mempunyai seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan seorang menteri Kabinet walhal Zuraida terus menikmati faedah sebagai Ahli Parlimen dan menteri di bawah parti Bersatu.

“Justeru adalah tidak adil untuk defendan kekal menikmati faedah berkenaan yang tidak akan dikecapinya jika bukan dengan perkhidmatan dan nama baik daripada PKR.” katanya lagi.

Dalam penyataan tuntutan PKR, Zuraida yang menandatangani bon bertarikh 25 April 2018 tersebut, mengikatnya untuk membayar RM10 juta kepada parti seperti termaktub dalam terma dan syarat.

PKR berkata, Zuraida dikehendaki membayar dalam tempoh tujuh hari jika keluar parti, menyertai mana-mana parti politik atau menjadi Ahli Parlimen bebas.

PKR mendakwa, pada 24 Feb 2020, Zuraida mengumumkan keluar parti, tanpa meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang.

Beliau kemudian membantu pembentukan gabungan politik baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional.

Peguam Navpreet Singh mewakili PKR dan Saifuddin, manakala Nizamuddin Hamid mewakili Zuraida.

Perbicaraan di hadapan Hakim Akhtar Tahir bersambung. — mediahit

Baca Juga:-

Kes Hakim Nazlan: Kerajaan Hormati Keputusan Mahkamah Persekutuan
Kempen Proklamasi Orang Melayu Kini Dilakukan Dalam Talian
Mogok Pekerja Di Jerman, Pergerakan Kapal Terbang Dan Keretapi Terganggu