Bekas Naib Presiden PKR, Zuraida mendakwa dipaksa menandatangani bon bersyarat PKR tanpa mengetahui isi kandungannya.
KUALA LUMPUR — Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin mendakwa beliau tidak tahu isi kandungan bon bersyarat yang terpaksa ditandatanganinya sehari sebelum hari penamaan calon PRU14, 2018.
Zuraida berkata beliau tidak diberi pilihan dan dipaksa menandatangani bon tersebut tanpa mengetahui isi kandungan bon itu dan juga tidak diberi penerangan atau butiran tentang terma dan syarat dan mendakwa tidak dapat meneliti kandungan perjanjian tersebut.
“Secara jujur, saya tidak tahu sama ada saya telah menandatangani dokumen yang dilampirkan di dalam Lampiran 1 (perjanjian bon RM10 juta) tersebut ataupun tidak.
“Saya pernah menandatangani dokumen yang serupa dan juga dokumen-dokumen lain berhubung PRU-14. Tetapi saya tidak membaca isi kandungan dokumen-dokumen yang diberikan kepada saya pada masa material.
“Saya juga tidak diberi salinan dokumen-dokumen itu pada bila-bila masa,” kata Zuraida.
Zuraida disaman PKR sebanyak RM10 juta kerana didakwa melanggar kontrak bon apabila keluar parti PKR dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan Langkah Sheraton pada 2020.
Zuraida umum keluar parti PKR pada 24 Februari 2020 tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang.
Ujar Zuraida, tidak mungkin beliau akan menandatangani bon sebelum menerima watikah perlantikan sebagai calon untuk parti PKR jika mengetahui syarat bon tersebut.
Zuraida Kecewa PKR Tidak Menghargai Pengorbanannya Selama 21 Tahun
Bekas Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) itu berkata beliau keluar dari parti tersebut setelah dipecat, seperti yang telah disiarkan di media. Beliau mendakwa benar-benar terkejut dan sangat kecewa dan merasakan bahawa kewujudannya tidak lagi dihargai oleh parti tersebut memandangkan mereka boleh sewenang-wenangnya memecatnya.
“Mereka (PKR) tidak mempertimbangkan fakta bahawa saya merupakan seorang ahli setia yang telah berjuang dan berkorban untuk parti tersebut selama lebih 21 tahun,” kata beliau.
Zuraida menambah, adalah tidak wajar jika PKR mengatakan ia membelanjakan RM10 juta untuk kempen beliau semasa PRU 14 dan ia adalah satu kenyataan yang tidak berasas dan merupakan satu tindakan hanya untuk memenuhkan tabung parti tersebut.
Dakwa bekas ahli Parlimen Ampang itu, beliau tidak tahu berapa (duit) yang telah dibelanjakan PKR untuknya dan beliau sendiri tidak menerima apa-apa dana semasa berkempen. Beliau mendakwa telah menggunakan wang dari koceknya sendiri sepanjang penglibatannya di dalam parti PKR dan hanya sekali sahaja pernah menerima dana berkempen iaitu sebanyak RM10,000 untuk PRU tahun 2008 daripada Presiden parti, Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, bekas ahli PKR itu mendakwa tidak merasakan perkara itu membebankan kerana percaya dengan matlamat dan tujuan parti tersebut pada masa itu.
Beliau mengganggap tuntutan PKR sebanyak RM10 juta itu sebagai tidak berasas, melampau dan tidak masuk akal.
Selepas bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu menyertai PPBM, pada 26 Mei 2022 beliau keluar daripada parti itu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). Pada 27 Disember, beliau dipecat daripada PBM.

Di dalam prosiding yang berlangsung dalam talian pada Rabu, saksi pertama iaitu Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution mendakwa Zuraida menandatangani bon bersyarat itu secara sukarela, sebelum menerima watikah pelantikan bertanding pada PRU14.
Saifuddin berkata, Zuraida, sebagai Naib Presiden pada waktu tersebut dan juga ahli Biro Politik parti, mengetahui tentang syarat bon tersebut dan tidak pernah mengemukakan sebarang bantahan berkaitan syarat itu.
PKR menuntut agar Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak serta faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Mahkamah menetapkan tarikh keputusan pada 23 Jun ini.
Peguam Navpreet Singh mewakili PKR dan Saifuddin, manakala Nizamuddin Hamid mewakili Zuraida. Prosiding ini didengari di hadapan Hakim Akhtar Tahir. — mediahit