Wahab dakwa Agus buat gangguan seksual

Kejadian didakwa berlaku di sebuah hotel di Bintulu, Sarawak

0
65
Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff atas dakwaan gangguan seksual
Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff atas dakwaan gangguan seksual

KUALA LUMPUR — Polis mula siasatan terhadap bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff atas dakwaan gangguan seksual.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan itu dimulakan susulan laporan yang dibuat oleh penolong pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada Khamis (30 Nov).

“Berdasarkan laporan, pengadu mendakwa kejadian berlaku di sebuah hotel di Bintulu, Sarawak pada 21 Oktober lepas.

Razarudin berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan.

Katanya lagi,  polis akan memanggil beberapa individu untuk direkodkan keterangan mereka.

Bercakap kepada akhbar selepas membuat laporan, Wahab berkata laporan polis difailkan untuk membersihkan namanya yang terpalit dalam isu penyebaran video perbualan lucah melibatkan dirinya dengan Agus.

Beliau mengakui dirinya tertekan dan trauma selepas apa yang berlaku dan juga tidak pasti dengan status jawatannya di jabatan tersebut.

Terdahulu, sebuah video berdurasi tiga minit menggambarkan Agus kononnya melakukan perbualan tidak senonoh dengan seseorang dikenali sebagai ‘Wahab’ menjadi viral.

Agus walaubagaimanapun mendakwa video itu direka untuk mensabotaj reputasinya, dan orang yang bertanggungjawab adalah individu berpangkat tinggi di J-Kom yang dikenali sebagai Mr H. — MalaysiaXpress