Tumpu Cari Pendaki Everest OKU Di Zon Kematian

0
81
KPWKM: Keluarga pendaki Everest Muhammad Hawari akan diberi kaunseling. Gambar: Bernama
KPWKM: Keluarga pendaki Everest Muhammad Hawari akan diberi kaunseling. Gambar: Bernama

Misi pencarian pendaki Everest yang hilang sejak Jumaat lalu, kini ditumpukan di kawasan merbahaya dikenali sebagai Zon Kematian.

KUALA LUMPUR — Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kini menumpukan kepada bahagian atas gunung yang dikenali sebagai zon kematian dalam usaha menjejaki pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33.

Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak, 35, berkata, walaupun usaha pencarian sudah memasuki hari keenam, beliau percaya, Hawari masih hidup kerana masih mempunyai bekalan makanan mencukupi serta dilengkapi sut yang mampu menahan cuaca sejuk.

Misi SAR Hawari bermula jam 11 pagi waktu Nepal pada Jumaat dengan bantuan lapan malim gunung untuk mencari di Everest Base Camp (EBC), kem tiga sehingga kem enam termasuk tinjauan melalui udara.

Misi ini turut dibantu 20 sukarelawan, namun hanya malim gunung berpengalaman boleh melakukan pencarian di kem empat kerana kawasan itu berbahaya.

Dipercayai Jatuh Di Kawasan Kaki Gunung Lhotse

Hawari yang menyertai ekspedisi ME 2023 dilaporkan hilang ketika turun dari kem empat selepas berjaya menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu dan dipercayai terjatuh di kawasan kaki Gunung Lhotse, Nepal.

Baca juga:
Pendaki Dilapor Hilang Setelah Takluk Puncak Everest
Pendaki Everest Malaysia Meninggal, Jatuh 20 Minit Sebelum Sampai Ke Puncak

Lurah ais sedalam lebih 1,000 meter antara cabaran yang dilalui malim gunung atau sherpa ketika menjejakinya.

Selain menggunakan khidmat malim gunung, pihak Kedutaan Malaysia di Nepal turut berikhtiar mengesan mangsa menggunakan isyarat telefon bimbit digunakan mangsa namun usaha berkenaan mengalami kesukaran berikutan isyarat terakhir dikesan adalah pada 6 Mei lalu.

Sehari sebelum Hawari dilaporkan hilang, rakan pendaki beliau, Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, Pengarah Angkatan Pertahanan Malaysia (Kedah), yang juga antara peserta ME 2023, meninggal dunia akibat terjatuh pada ketinggian 8,000m dari aras laut.

Usaha pencarian dan mengesan Muhammad Hawari semakin suntuk ketika ini berikutan Kerajaan Nepal akan menutup semua aktiviti di pergunungan Everest pada 29 Mei hadapan atas faktor keselamatan. — mediahit