Tiada kenaikan harga ikan ketika musim tengkujuh

Harga ikan selayang ketika ini mencecah RM10 untuk tiga kilogram

0
95
Tiada kenaikan harga ikan ketika musim tengkujuh - Gambar Sinar Harian
Tiada kenaikan harga ikan ketika musim tengkujuh - Gambar Sinar Harian

MARANG — Harga ikan tidak naik di Terengganu, walaupun pada musim hujan.

Menteri Pertanian dan Makanan, Dr. Azman Ibrahim berkata, harga ikan sebenarnya turun disebabkan kenaikan 9.9 peratus pendaratan ikan pada tahun ini.

“Tangkapan ikan pada musim tengkujuh dijangka terus meningkat termasuk daripada spesies ikan gred A seperti kerapu dan merah yang sebelum ini hanya boleh didapati di laut dalam.

“Banyak spesies ikan dari laut dalam akan menghampiri pesisir pantai untuk bertelur sebab itu kita minta nelayan titik berat kaedah penangkapan supaya tidak ganggu ikan bertelur,” katanya kepada pemberita selepas program Melabuh Tukun Tiruan X-To-Reef dekat Pulau Kapas di sini hari ini (17Okt).

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata sebanyak 70 peratus daripada peningkatan tersebut disumbangkan oleh hasil tangkapan nelayan di Zon A dan Zon B, iaitu jarak lima hingga 12 batu nautika dari pantai atau pulau yang berdekatan.

Harga ikan

“Harga ikan selayang ketika ini mencecah RM10 untuk tiga kilogram dan ia sesuatu yang tak pernah berlaku dalam tempoh agak lama di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata walaupun hasil ikan di Terengganu dibawa dari Endau, Johor tetapi hasil tersebut sebenarnya ditangkap di perairan Terengganu dan dibawa balik semula melalui jalan darat.

Sementara itu, katanya sebanyak enam tukun tiruan yang dihasilkan daripada teknologi Jepun dilabuhkan di kawasan Taman Laut iaitu kira-kira satu batu nautika dari Pulau Kapas.

“Oleh itu, kita nasihatkan supaya nelayan mengelak kaedah tangkapan ikan yang boleh merosakkan sumber marin di kawasan pesisir pantai,” katanya.– Bernama

Baca juga: Bangladesh Import 150 Juta Telur Untuk Kestabilan Pasaran