The Bos Gaurus menguji Kelantan FC

Dua pemain bola Perak FC dilanda kecederaan

0
160
The Bos Gaurus menguji Kelantan FC - Gambar Astro Awani
The Bos Gaurus menguji Kelantan FC - Gambar Astro Awani

IPOH — Perak FC tidak akan sesekali mengambil mudah cabaran Kelantan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak Sabtu ini, biarpun pasukan lawan itu berada dalam prestasi tidak menentu pada ketika ini.

Ketua jurulatihnya Yusri Che Lah berkata beliau yakin pasukan lawan akan bermain bermati-matian bagi melakar kemenangan sekali gus memperbaiki kedudukan mereka yang pada ketika ini berada pada tangga tercorot liga.

“Saya tidak anggap Kelantan sebagai pasukan belasahan dan kesemua pemain mereka yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama nanti akan memberi tentangan kepada pasukan saya.

“Mereka mungkin akan turun dengan motivasi bersifat individu iaitu jika ada dalam kalangan pemain (Kelantan) yang terus kekal memperagakan aksi terbaik maka sudah pasti ada di antaranya akan dipancing oleh mana-mana pasukan lain untuk musim depan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini (27 Oktober).

Selepas mengharungi 22 perlawanan, The Bos Gaurus berada di kedudukan ke-11 dan mengutip 19 mata manakala Kelantan yang telah bermain 21 perlawanan, menduduki tangga ke-14 dengan lapan mata.

Harapan Yusri

Yusri berkata Perak juga berkemungkinan besar tidak akan dapat menurunkan pemain pertahanan import dari Filipina Jesper Nyholm, bekas pemain sayap kebangsaan Wan Zack Haikal Wan Noor serta pemain tengah Muhamad Firdaus Saiyadi yang dilanda kecederaan.

“Jesper dan Firdaus hampir pasti tidak dapat diturunkan manakala Wan Zack situasinya masih samar. Buat masa ini pasukan perubatan masih memantau tahap atau situasi kecederaan yang dialami Wan Zack,” katanya.

Yusri yang juga bekas pemain kebangsaan turut mengharapkan para penyokong dapat hadir beramai-ramai ke stadium untuk terus meniupkan semangat kepada anak didiknya sepertimana ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia, 19 Okt lepas.

“Sudah pasti dengan keberadaan para penyokong akan meningkatkan semangat para pemain sekali gus memastikan sasaran untuk memenangi perlawanan ini akan menjadi kenyataan,” katanya. — Bernama

Baca lagi: Pengawal keselamatan bawa pisau ke stadium