Suar: Peminat Desak JDT Dihukum Lebih Berat

3
121
Peminat bola sepak desak JDT dihukum lebih berat angkara tindakan penyokong kelab itu membakar suar di dalam stadium. Gambar: Bernama
Peminat bola sepak desak JDT dihukum lebih berat angkara tindakan penyokong kelab itu membakar suar di dalam stadium. Gambar: Bernama

Rata-rata peminat bola sepak tempatan ingin melihat JDT dikenakan hukuman lebih berat susulan penyokong kelab itu terus degil menyalakan suar di dalam stadium.

KUALA LUMPUR — Rata-rata peminat bola sepak tempatan di media sosial mendesak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenakan hukuman lebih berat terhadap kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) susulan isu menyalakan suar di stadium.

Desakan hukuman denda pemotongan mata dan bermain tanpa kehadiran penonton dibuat peminat susulan tindakan segelintir penyokong Harimau Selatan yang menyalakan suar di dalam Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan, malam Sabtu.

Penyokong JDT seolah-olah tidak serik selepas kelab tersebut dikenakan hukuman denda FAM berjumlah RM120,000 Khamis lalu atas kesalahan membakar suar pada tiga perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) di Stadium Sultan Ibrahim musim ini.

Denda pertama sebanyak RM30,000 dikenakan kepada JDT ketika perlawanan menentang Sabah FC pada 31 Mac akibat tindakan penyokong melakukan pembakaran suar dalam anggaran sebanyak 10 unit.

Selain itu, JDT turut didenda RM10,000 kerana didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

Peminat: Penyokong JDT Tidak Hormat MFL dan FAM

JDT turut didenda ketika perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC pada 9 April berjumlah RM30,000 akibat tindakan penyokongnya membakar suar secara serentak dengan jumlah lebih kurang 30 unit dan didenda RM10,000 kerana gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

Penyokong JDT juga telah menyalakan suar pada satu aksi Piala FA berdepan PDRM FC pada April.

Peminat di media sosial menyifatkan tindakan menyalakan suar itu sebagai tidak menghormati MFL selaku badan pentadbir Liga-M selain mencabar FAM sebagai badan induk bola sepak negara.

Tindakan menyalakan suar adalah melanggar obligasi penganjuran perlawanan dan bertentangan dengan Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

JDT ketika ini selesa menerajui takhta Liga Super selepas cemerlang merakam 16 kemenangan berturut-turut untuk mengumpul 48 mata, meninggalkan pencabar terdekat Selangor FC di tempat kedua dengan perbezaan 14 mata, selain turut layak ke final Piala FA musim ini. — Mediahit

Baca juga:
JDT Mara Ke Separuh Akhir Piala FA