
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai telah menggeladah pejabat dan kediaman Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, pada Ahad, susulan siasatan terhadap beliau dan dua orang pegawai dari kementerian tersebut.
KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah menyiasat Menteri Sumber Manuasia yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar kerana didakwa menerima jutaan ringgit melalui orang tengah, untuk meneruskan kontrak pengambilan pekerja asing kerajaan untuk individu-individu tertentu.
Beliau telah dipanggil ke ibu pejabat SPRM semalam, untuk direkodkan kenyataannya beberapa hari selepas SPRM menahan Pegawai Tugas-Tugas Khas dan Setiausaha Sulit Sivakumar, dan seorang ahli perniagaan yang tidak dinamakan.
Sivakumar Didakwa Minta Sogokan Dari Ahli Perniagaan
Memetik sumber yang tidak dinamakan, Utusan Malaysia melaporkan Sivakumar dipanggil oleh SPRM untuk menjawab soalan mengenai dakwaan sogokan wang tunai daripada ahli perniagaan yang tidak dinamakan tersebut.
“Tindakan ahli perniagaan itu disyaki dilakukan dengan pengetahuan dua pegawai Sivakumar yang dikatakan turut menyaksikan transaksi wang itu,”
“Wang itu disyaki telah dibayar secara tunai sebelum semuanya didakwa diserahkan kepada Sivakumar,” sumber yang tidak dinamakan itu dipetik sebagai berkata.
Menurut laporan tersebut, penggeledahan ke atas kediaman dan pejabat Sivakumar itu dilakukan SPRM sebaik sahaja keterangan menteri itu diambil pada hari sama bagi menjejaki wang yang didakwa diperolehi Sivakumar bagi melengkapkan siasatan.
Disoal SPRM Selama 9 Jam
Utusan Malaysia juga melaporkan, setakat jam enam petang semalam, Sivakumar masih bersama SPRM, sembilan jam selepas beliau ke Putrajaya, namun tidak ditahan dan dilaporkan telah dibebaskan kemudian.
V. Sivakumar, 53, merupakan seorang ahli politik dari gabungan Pakatan Harapan dan juga Timbalan Setiausaha Agung parti DAP.
Beliau telah dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia sejak 3 Disember 2022.– mediahit