
Kota Bharu — Genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, 24, mengakhiri zaman bujangnya bersama wanita pilihan, Siti Sarah Zulkarnain dengan sekali lafaz pada Khamis (2 Nov).
Berita gembira itu dikongsikan bapa Adi Putra, Abdul Ghani Abdul Wahid menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.
“Sahlah Adi Putra sebagai Raja Sehari di Lundang, Kota Bharu, Kelantan.
“Berkat doa dari tuan, puan, sahabat serta muridnya.. dengan lafaz nikah sekali saja dan kenduri pun berjalan lancar.
“Alhamdulillah cuaca pun baik di Kota Bharu hari ini, amin,” tulisnya.
Majlis pernikahan berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Lundang, manakala Adi Putra dan Siti Sarah, 27, mengikat tali pertunangan pada 19 Julai lalu.
Adi Putra, anak kelahiran Bagan Serai, Perak, pernah menggemparkan negara selepas digelar sebagai genius matematik.
Ketika berusia enam tahun, Adi Putra mendapat tawaran melanjutkan pengajian di dua universiti terkemuka dunia iaitu Universiti Oxford di United Kingdom (UK) dan Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS).
Dalam usaha berkongsi ilmu dan kepakarannya, Adi Putra menubuhkan syarikatnya sendiri yang diberi nama Adimatik Genius Solutions bagi membantu masyarakat untuk menguasai ilmu Matematik. — Malaysiaxpress