Puteri Sarah tetap dengan keputusannya untuk bercerai dengan Syamsul Yusof
KUALA LUMPUR — Sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) antara pasangan selebriti Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin gagal mencari jalan penyelesaian apabila Puteri Sarah tetap dengan keputusannya untuk bercerai.
Selepas sesi yang berlangsung hampir dua jam di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pagi tadi, Puteri Sarah yang diwakili adiknya, Puteri Sofea nekad dengan keputusan bercerai.
Puteri Sarah nekad menyerahkan perkara itu pada sesi sebutan kedua di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 10 April akan datang ini.
“Saya masih dengan keputusan untuk bercerai dan tidak mahu berdamai. Cukup-cukuplah, saya sudah penat. Lepaskan saya saja,” kata Puteri Sarah.
Syamsul dan Puteri Sarah pada 7 Mac lalu, diperintahkan oleh Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas, hakim di Mahkamah Rendah Syariah di sini supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.
JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
“Saya memilih untuk tidak berjumpa dan sebilik dengan Syamsul hari ini. Jadi, saya dan adik hanya berjumpa dengan pegawai yang dilantik dan menceritakan segala-galanya mengenai konflik rumah tangga kami berserta dengan bukti.
“Bagi saya, pegawai Jawi perlu tahu apa yang berlaku supaya ada jalan penyelesaian atau sebaliknya. Saya memang tidak mahu bersama kerana sudah penat dengan masalah yang ditanggung selama beberapa tahun ini.
“Tidak. Saya tak nak berbaik atau kembali ke pengakuannya. Saya hanya mahu bercerai,” kata Puteri Sarah.
Manakala suaminya, pengarah sensasi, Syamsul Yusof meluahkan rasa kecewa apabila tidak dapat bertemu dengan isteri pertamanya, Sarah, melalui proses JKP pagi tadi.
“Bagaimanapun saya menghormati proses tersebut meskipun ianya dibuat secara berasingan sehingga menyukarkannya untuk mencari jalan pendamaian,” kata Syamsul.
Menurut Syamsul lagi, beliau akan mempertimbangkan permintaan isterinya itu untuk dilepaskan jika Sarah bersemuka dan berbincang dengannya.
Puteri Sarah, selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah di sini mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.
Pelakon wanita tersebut dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bengambil Ira Kazar, seorang pelakon dan juga influencer media sosial, sebagai isteri keduanya, awal tahun ini.

Antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai adalah sudah tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri, menurut hukum syarak.
Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4 — mediahit