Seorang lagi mangsa runtuhan resort di Pulau Perhentian meninggal dunia

Mangsa pertama yang maut dijumpai di bawah runtuhan bangunan

0
81
Keadaan bangunan yang runtuh di Pulau Perhentian dalam kejadian pada awal Khamis lalu - Gambar Astro Awani
Keadaan bangunan yang runtuh di Pulau Perhentian dalam kejadian pada awal Khamis lalu - Gambar Astro Awani

JERTIH — Seorang lagi mangsa yang tertimbus dalam kejadian runtuhan bangunan restoran dalam pembinaan di Malee Beach Resort, Pulau Perhentian dekat sini pada Khamis lepas, meninggal dunia awal pagi tadi.

Mangsa yang dikenali Bahul Jamil, 42, warganegara Indonesia, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan pada pukul 2.14 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata punca kematian mangsa ialah akibat kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan.

“Mangsa ditemukan terperangkap di bawah runtuhan tersebut pada pukul 1.18 tengah hari, Khamis lepas selepas terperangkap kira-kira 8 jam, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu. 

“Kematian Bahul menjadikan seramai dua daripada kesemua tujuh mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan itu meninggal dunia. Mangsa pertama yang maut dikenali Suparno, 40, ditemukan telah meninggal dunia kira-kira pukul 2.15 petang Jumaat,” katanya. — Bernama