Saksi: 436 Gambar Diambil Dari Fon Ebit

1
93
Ebit didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita degan menghantar perkataan dan gambar lucah ke fon mangsa.

436 gambar berkaitan dengan kes gangguan seksual diambil dari fon bimbit pendakwah terkenal Ebit Lew.

TENOM — Saksi ketujuh perbicaraan kes pendakwah Ebit Lew, Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asisten Superintendan Latifah Abdul Aziz, 43, memaklumkan bahawa terdapat 436 gambar berkaitan dengan kes diperoleh daripada telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A31 yang dihantar ke makmal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain daripada itu, juga terdapat empat rakaman video dan 219 gambar tangkap layar yang turut diperoleh Latifah melalui telefon bimbit berkenaan.

Latifah berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Nor Azizah Mohamad Jumaat. Beliau memaklumkan, pemeriksaan fizikal dibuat sejurus pihaknya menerima telefon bimbit itu pada 9 Ogos 2021 yang lalu bagi memastikan ianya berfungsi dengan baik dan tiada sebarang kerosakan sebelum membuat analisis terhadap telefon bimbit berkenaan.

Ketika disoal siasat, Latifah berkata daripada pemerhatiannya, empat rakaman video yang ditayangkan di mahkamah hari ini tidak mengalami sebarang pengubahsuaian.

Majistret Nur Asyraf Zolhani kemudian menetapkan perbicaraan disambung pada 21 hingga 23 Jun depan.

Ebit Berdepan Hukuman Penjara Maksimum 5 Tahun

Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan bin Ibrahim Lew, 37, dipanggil pihak polis pada Ogos 2021 yang lalu bagi membantu siasatan berhubung kes dakwaan sebuah video lucah yang dikatakan mirip dengan rupanya tersebar di internet.

Walau bagaimanapun, Ebit mengaku tidak bersalah dan mengatakan itu merupakan satu fitnah melampau yang cuba memburukkan namanya.

Beliau berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan sekiranya Ebit didapati bersalah, pendakwah bebas itu bakal berdepan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. — mediahit

Boost post