
PUTRAJAYA — Menteri Ekonomi Rafizi Ramli selamat menjalani pemasangan stent jantung minggu lepas dan kini sedang berehat, demikian menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung PKR berkata perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh sumber terdekat dengan Rafizi.
“Dia selamat (jalani prosedur stent jantung) dan sekarang berehat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Jubli Intan 75 Tahun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.
Mendoakan kesihatan Rafizi, Saifuddin Nasution berkata beliau percaya Rafizi akan kembali sihat dengan rehat yang cukup.
“Dia seorang yang ‘degil’. Kalau dapat cuti sakit dua minggu, dia akan ambil hanya seminggu. Tetapi sebagai ‘abang’, saya ingin nasihatkannya agar mendapatkan rehat yang cukup.” katanya lagi.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengesahkan Rafizi, yang juga Timbalan Presiden PKR, sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) selepas dilaporkan mengalami serangan jantung dan beliau kini dalam keadaan stabil. — Malaysiaxpress
Baca juga: