Pantai Barat Sabah Dilanda Banjir, Tanah Runtuh Dan Mendap.

1
70
Pantai Barat Sabah Dilanda Banjir, Tanah Runtuh Dan Mendap.
Pantai Barat Sabah Dilanda Banjir, Tanah Runtuh Dan Mendap.

APM memantau beberapa kawasan yang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan selama beberapa jam sekitar 3 petang semalam.

KOTA KINABALU — Beberapa kawasan di pantai barat Sabah dilanda banjir kilat, tanah runtuh dan tanah mendap akibat hujan lebat berterusan selama beberapa jam pada lewat petang semalam.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah ketika dihubungi memberitahu pemantauan dijalankan di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran yang dilanda banjir kilat antaranya Likas, Penampang, Menggatal, Tebobon, Kolombong, Telipok, Rugading dan Gayang.

Tinjauan dijalankan mendapati beberapa jalan turut dilanda banjir kilat dan masih mengakibatkan kesesakan teruk sehingga berita ini ditulis malam ini antaranya Jalan Tuaran Bypass, Jalan Universiti Malaysia Sabah, Jalan Kibabaig Penampang, Jalan Likas, Jalan Menggatal dan Jalan Kayu Madang.

“Cuaca masih hujan di beberapa kawasan malam ini tetapi tidak lebat seperti petang tadi, pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati kerana masih lagi ada jalan yang ditenggelami banjir kilat ini.

“Setakat ini tiada sebarang kejadian tidak diingini melibatkan orang ramai yang diterima,” katanya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Hamsa Isnurdini berkata pihaknya menerima laporan kejadian kejadian tanah runtuh petang ini di Skim Penempatan Telipok, Tuaran akibat hujan lebat berterusan itu.

Rumah Kediaman Musnah

Beliau berkata pihaknya menerima laporan itu pada 3.41 petang tadi dan pihaknya memndapati dua rumah kediaman jenis tidak kekal telah musnah akibat bencana tersebut.

“Sebuah rumah berpenghuni manakala sebuah lagi tidak berpenghuni.

“Tiada mangsa terlibat dan setelah pemantauan mendapati tiada lagi bahaya di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pukul 5.25 petang tadi,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memaklumkan satu kejadian tanah mendap dikesan di kawasan Telupid akibat hujan lebat itu petang ini mengakibatkan sebahagian Jalan Kota Kinabalu-Sandakan dekat Kampung Lumou tidak dapat dilalui kenderaan.

“Tanah mendap itu juga mengakibatkan pembentung jalan beralih tempat, kerja pembaikan antaranya pemasangan pembentung sementara sedang dijalankan.

“Jalan itu hanya boleh dilalui satu lorong masa ini dan tiada jalan alternatif untuk laluan itu,” katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di perairan barat Sabah dan utara Sarawak selama tiga hari, namun ia diramal bermula esok.

Berdasarkan ramalan cuaca signifikan itu, keadaan itu menurut MetMalaysia diramal berlaku berikutan satu sistem tekanan rendah dijangka terbentuk di barat Filipina dan bergerak ke arah barat laut menuju ke selatan China. — Bernama

Baca juga:
Ada Kemungkinan Gempa Bumi Besar Bakal Berlaku Di Malaysia – NewMediaHit