Rosmah Mansor – Harapan Kami, Najib Razak Pulang

0
120
Rosmah Mansor, ahli keluarga, dan para penyokong Najib Razak berkumpul di Istana Kehakiman, Putrajaya untuk mendengar keputusan Semakan Rayuan tempohari. - MH filepic oleh Jebat Shinchan
Rosmah Mansor, ahli keluarga, dan para penyokong Najib Razak berkumpul di Istana Kehakiman, Putrajaya untuk mendengar keputusan Semakan Rayuan tempohari. - MH filepic oleh Jebat Shinchan

Rosmah Mansor serta anak-anak hanya inginkan kepulangan Najib Razak ke sisi keluarga

KUALA LUMPUR — Pada 31 Mac 2023, empat dari lima hakim telah bersepakat untuk menolak permohonan pihak Najib Razak untuk mendengar semula kes. Namun, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli yang merupakan hakim senior semasa perbicaraan semalam telah mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan keempat-empat hakim yang lain.

Selepas perbicaraan tamat, saya berpeluang untuk bersembang santai dengan Rosmah Mansur yang kelihatan begitu sugul, dengan ditemani oleh anak-anak dan cucu-cucu yang merupakan kekuatan beliau pada ketika ini.

Tersiat hati saya melihat seorang wanita yang lebih kurang dengan arwah ibu saya mengalirkan air mata tanda kasih terhadap seorang suami yang dinamakan sebagai tertuduh.

Rosmah Mansor Redha Dugaan Najib Razak

“Sangat tidak adil apa yang berlaku ke atas suami saya. Semasa beliau berjawatan sebagai seorang presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, tiada satu saat pun beliau tidak memikirkan tentang UMNO, rakyat dan negara. Sesiapa yang meminta tolong, waima telefon beliau pukul 3.00 pagi pun beliau akan bantu.

“Tetapi sekarang? Suami saya dilayan umpama ‘Banduan Nombor 1’ di Malaysia oleh mereka yang tidak mengenang jasa beliau kepada negara langsung.

“Sebagaimana yang dikatakan oleh Yang Arif Abdul Rahman Sebli, hakim tunggal yang bersetuju supaya permohonan semakan Najib Razak dibenarkan berpendapat adalah tidak adil bagi suami saya iaitu Najib Razak terpaksa menanggung akibat daripada kesilapan dilakukan peguamnya dalam prosiding rayuan kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd,” ujar beliau lagi.

Mengikut Rosmah, suami beliau tidak pernah pun meminta apa-apa keistimewaan, walaupun sebagai bekas Perdana Menteri beliau layak, namun apa yang diminta hanyalah meminta permohonan semakan. Kegagalan permohonan ini adalah satu dugaan besar untuk Najib Razak sekeluarga.

Bapa Yang Gagal

“Saya tidak sanggup nak ingat bagaimana suami saya memandang sayu ke arah saya dan anak-anak ketika perbicaraan tamat. Pandangan beliau umpama mengatakan bahawa beliau adalah seorang suami dan bapa yang ‘gagal’. Ya, beliau tidak menumpahkan setitis pun air mata, tetapi saya tahu, hati beliau remuk-redam.

Seperti juga ibunya Rosmah Mansor, Yana dilihat mengesat air mata semasa meninggalkan Istana Kehakiman kerana harapan keluarga tidak kesampaian  untuk menyambut  Ramadhan bersama Najib Razak. - Gambar FB

“Mereka melayan beliau umpama ‘kain buruk’ yang hanya layak untuk dibuang. Harapan kami sekeluarga untuk berbuka dan berterawih sama tinggal kenangan.”

Rosmah juga berterima kasih kepada rakan-rakan, para penyokong yang bersama-sama mengikuti kes perbicaraan yang mengambil masa bertahun, dan setia menunggu sehingga habis setiap kali perbicaraan berlangsung. Keikhlasan dan keprihatinan anda semua terhadap kami sekeluarga amatlah saya hargai, dan hanya Allah yang mampu membalasnya,” katanya lagi.

Redha Atas Ketentuan Takdir

“Apa pun yang berlaku, saya redha. Pihak peguam suami saya yang diketuai oleh Shafee Abdullah telah melakukan tugas dengan terbaik, dan saya percaya apa yang berlaku ini bukan sahaja ‘pengajaran’ buat keluarga saya, tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia, dan dunia.

“Kes ini telah membuktikan betapa sebuah keadilan itu boleh menjadi ‘buta’ kerana ada campurtangan tertentu. Jika suami saya yang pernah menjadi Perdana Menteri terpaksa menghadapi keadaan sebegini, bagaimana pula dengan rakyat Malaysia yang lain? Tepuk dada, tanya selera. Rakyat Malaysia bukan bodoh, mereka tahu akan jawapannya.”

Rosmah juga berharap agar usaha-usaha lain pihak peguam akan membuahkan hasil, “paling penting bagi kami sekeluarga adalah Najib Razak pulang ke rumah. Itu sahaja.”

Semalam, permohonan Najib Razak untuk kebenaran menyemak semula kes SRC International ditolak oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya dengan keputusan majoriti 4-1.

Mengikut keputusan tersebut, panel membuat keputusan berkenaan selepas mendapati permohonan kebenaran semakan itu adalah lebih menjurus kepada permohonan untuk menyemak merit keputusan panel dalam rayuan akhirnya pada 23 Ogos tahun lalu.

Keputusan berkenaan dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, yang turut disokong Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Manakala, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli membuat keputusan menentang. – mediahit

Artikel Berkaitan:-

Najib ‘Pardon’ After Johor Sultan Enters Fray On Ex-PM

Judge Nazlan, CJ Maimun, Proverbial Albatross Around Anwar’s Neck

Apa Yang Najib Razak ‘Curi’ Daripada Kita, Sebenarnya?

PM6 Najib Razak Denied Justice Once Again