Raja Permaisuri Agong Berkenan Lawat Royal Selangor Bersama Isteri Presiden Filipina

2
159
Raja Permaisuri Agong berkenan lawat Royal Selangor bersama isteri Presiden Filipina
Raja Permaisuri Agong berkenan lawat Royal Selangor bersama isteri Presiden Filipina

Keberangkatan tiba Tunku Azizah diiringi delegasi Filipina bagi menghayati sejarah pembuatan piuter (timah) di Malaysia. 

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) — Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat Royal Selangor Visitor Centre bersama isteri Presiden Filipina Louise Araneta-Marcos hari ini. 

Keberangkatan tiba Tunku Azizah pada kira-kira 3.30 petang turut diiringi delegasi Filipina bagi menghayati sejarah pembuatan piuter (timah) di Malaysia. 

Ketika lawatan, Sri Paduka dan Araneta-Marcos melihat produk piuter dan perak yang dihasilkan oleh pekerja Royal Selangor serta melihat bagaimana produk-produk berkenaan dihasilkan oleh mereka.  

Royal Selangor hari ini turut dihiasi reruai jualan kain tenunan Pahang oleh banduan dari Penjara Penor, Pahang dan reruai jualan tenunan Pahang daripada Che Minah Sayang. 

Turut dipamerkan di Royal Selangor, koleksi batik Sentuhan Permaisuri: Eksplorasi dan Eksperimentasi Batik Inderapura yang dihasilkan sendiri oleh Tunku Azizah. 

Royal Selangor yang mempunyai kira-kira 500 pekerja kini merupakan tarikan besar pelancong luar untuk melihat kraf piuter buatan Malaysia yang menawarkan lebih 1,000 kraf pinggan, mangkuk dan cenderahati serta aksesori peribadi. 

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr dan isterinya tiba di Kuala Lumpur pada petang Selasa untuk mengadakan lawatan negara selama tiga hari. — Bernama

Baca juga:
Agong Bestows Datukship To MAG Group MD Izham Ismail, Fauziah Nawi – NewMediaHit