
Rafizi menolak dakwaan Presiden PAS yang mengatakan mendapat tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan.
ISKANDAR PUTERI — Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli menafikan dakwaan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bahawa PKR ada menawarkan parti itu untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata pihaknya juga tidak tahu bagaimana dakwaan itu timbul sedangkan beliau terlibat secara langsung dalam pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lepas.
“Saya tak pernah dengar (dakwaan PAS ditawarkan masuk Kerajaan Perpaduan) (sedangkan) saya adalah antara tiga individu dalam PKR yang banyak merundingkan pembentukan Kerajaan Perpaduan selain (Presiden PKR) Anwar Ibrahim dan (Setiausaha Agung PKR) Saifuddin Nasution Ismail.

Saya tidak tahu ini cerita zaman bila tapi saya boleh bagi tahu, sepanjang saya terlibat dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan, saya tidak tahu langsung tentang perkara ini (tawaran), kecualilah ada sesiapa yang lain (yang buat tawaran),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Semalam, Abdul Hadi dipetik sebagai berkata pernah dihubungi beberapa kali oleh “orang tertentu” yang didakwa menawarkan PAS menyertai Kerajaan Perpaduan.
Beliau mendakwa, sokongan PAS ditagih untuk mengukuhkan kerajaan yang kekurangan wakil Melayu.
Abdul Hadi menjelaskan, ketika ini pihaknya sememangnya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun, tetapi tawaran berkenaan mesti tidak lari daripada prinsip, matlamat dan hala tuju PAS. — mediahit