Lama Tunggu Pusat Hemodialisis, Peneroka Di Perak Syukur Bantuan Kerajaan

0
32
Lama Tunggu Pusat Hemodialisis, Peneroka Di Perak Syukur Bantuan Kerajaan
Lama Tunggu Pusat Hemodialisis, Peneroka Di Perak Syukur Bantuan Kerajaan

Pengumuman kerajaan untuk membina pusat hemodialisis di setiap wilayah disambut baik dan memberi kelegaan kepada golongan peneroka di Perak.

IPOH — Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai beberapa inisiatif dan insentif terutama melibatkan kesihatan untuk warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memberi kelegaan kepada golongan peneroka di Perak.

Ketua Peneroka Felda Lasah di Sungai Siput, Khairudin Mohamed, 55, berkata warga felda itu yang menghidap penyakit buah pinggang mendapatkan rawatan dialisis di Hospital Sungai Siput, terletak kira-kira 30 kilometer dari felda berkenaan.

Beliau berkata mereka terpaksa berulang alik ke hospital setiap minggu untuk rawatan tersebut dan sudah tentu ia melibatkan kos pengangkutan.

Katanya bukan semua daripada mereka mempunyai kewangan yang mencukupi, justeru pembinaan pusat hemodialisis di wilayah Felda merupakan satu berita gembira yang ditunggu dari dahulu.

Sumbangan Kesihatan Rahmah

“Selain itu, Insentif Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) amat diperlukan kerana rata-rata warga di Felda Lasah memerlukan bantuan seumpama itu daripada kerajaan untuk meringankan beban.

“Apa yang diumumkan Perdana Menteri memberi kelegaan kepada golongan peneroka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Khairudin yang merupakan generasi kedua berkata terdapat 387 peneroka di felda berkenaan yang mula dibangunkan pada 1965.

“Di samping itu, saya juga bersyukur apabila kerajaan mengumumkan SKR kerana secara tidak langsung dapat membantu warga emas seperti saya untuk menampung kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat naik pada masa kini,” katanya.

Perdana Menteri pada sambutan Hari Peneroka Felda 2023 Peringkat Kebangsaan di Serdang, Selangor pada Jumaat lepas mengumumkan pembinaan 12 pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta di semua wilayah Felda dan sebuah lagi di premis Yayasan Felda yang akan memanfaatkan 2,000 pesakit.

Anwar turut mengumumkan insentif khas SKR sebanyak RM300 yang akan memanfaatkan 70,715 peneroka yang berumur 65 tahun ke atas melibatkan peruntukan RM21.21 juta. — Bernama

Baca juga:
Penstrukturan Semula Kewangan Felda, Beri Manfaat Besar Kepada Peneroka – NewMediaHit