Polis Terima 3 Laporan Nama, KP, Diguna Individu Lain Untuk Mengundi

0
80
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata pihak polis menerima tiga laporan berkaitan nama dan kad pengenalan digunakan individu lain untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, setakat ini.
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata pihak polis menerima tiga laporan berkaitan nama dan kad pengenalan digunakan individu lain untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, setakat ini.

Ketua Polis Kedah berkata dua laporan berkenaan diterima di daerah Kulim manakala satu laporan di daerah Kuala Muda.

ALOR SETAR — Polis menerima tiga laporan berkaitan nama dan kad pengenalan digunakan individu lain untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, setakat ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata dua laporan berkenaan diterima di daerah Kulim manakala satu laporan di daerah Kuala Muda.

Beliau berkata dua wanita tidak berpuas hati apabila dimaklumkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa namanya telah ditanda untuk mengundi menyebabkan mereka tidak dapat menunaikan tanggungjawab itu, masing-masing berlaku di Kulim dan Kuala Muda.

“Kes lain di Kulim pula melibatkan seorang lelaki yang mendakwa namanya telah digunakan oleh orang lain untuk mengundi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi ketiga-tiga kes berkenaan.

Video Tular

Dalam pada itu, Fisol berkata pihaknya juga mengesan satu video tular menerusi media sosial tentang seorang wanita yang tidak berpuas hati apabila petugas SPR membantu suaminya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) menanda kertas undi di pusat mengundi di Pendang.

“Wanita yang merupakan isteri kepada lelaki itu mendakwa petugas SPR telah menanda pada kertas undi tidak sepertimana yang dikehendaki suaminya. Bagaimanapun, setakat ini, polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian daripada wanita atau petugas SPR yang terlibat,” katanya.

Berkenaan satu lagi video tular berkaitan bas yang didakwa membawa “pengundi hantu” di daerah Kuala Muda, Fisol menjelaskan dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana bas-bas yang ditularkan itu ialah bas yang disewa oleh pihak polis untuk membawa petugas polis di sekitar daerah berkenaan.

Beliau berkata pihaknya telah menyewa 34 bas dari Kuala Lumpur dan Kedah untuk membawa petugas-petugas polis yang ditugaskan menjaga keselamatan dan kelancaran proses PRN sepanjang pilihan raya kali ini.

Sementara itu, Fisol menasihati orang ramai terutamanya penyokong parti politik di Kedah supaya tidak mengadakan sebarang aktiviti konvoi bermula petang ini sehingga malam nanti bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Kalau hendak sambut kemenangan parti politik mereka pun jangan sehingga menyusahkan dan mengganggu ketenteraman awam,” katanya. — Bernama

Baca juga:
Mohd Shuhaily Dilantik Pengarah JSJ – PDRM