Polis akan ambil keterangan Mr H

Individu tersebut dipanggil selepas pihaknya menerima maklumat daripada  bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff

0
61
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (kanan) berkata individu tersebut dipanggil selepas pihaknya menerima maklumat daripada bekas Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (kanan) berkata individu tersebut dipanggil selepas pihaknya menerima maklumat daripada bekas Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff

KUALA LUMPUR — Polis akan merakam keterangan individu yang dinamakan sebagai Mr H, yang didakwa ada kaitan dengan video tular perbualan individu mirip bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, dengan seorang kakitangan J-KOM.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata individu tersebut dipanggil selepas pihaknya menerima maklumat daripada Agus ketika diambil keterangan semalam, tetapi Razarudin tidak mendedahkan identiti Mr H itu.

Razarudin juga dilaporkan berkata akan mengambil keterangan beberapa individu lagi dalam masa terdekat.

Agus tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang Isnin bagi memberi keterangan kali kedua berhubung kes video perbualan mirip dirinya dengan seorang kakitangan J-KOM.

Beliau juga dilaporkan turut membuat laporan terhadap pemilik akaun TikTok, Raja Petra, susulan penularan satu video TikTok, yang mendedahkan maklumat peribadinya.

Segera buat laporan

Dalam perkembangan sama, Razarudin berkata pegawai J-KOM Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, individu yang didakwa berbual bersama Agus dalam video tular tersebut, digesa tampil bagi membantu siasatan kes video terbabit.

“Setakat ini tiada laporan polis berkaitan ancaman keselamatan dibuat oleh Wahab dan kita minta beliau tampil segera untuk membantu siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, Razarudin berkata pihaknya turut menjalankan siasatan berhubung kebocoran salinan laporan polis Agus yang tular di media sosial.

Beliau berkata siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Agus dengan Wahab.

Agus pada sidang medianya Jumaat lepas di sebuah hotel di Bangi dekat sini, mendakwa video itu telah disunting dan membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan. — Malaysiaxpress

Baca juga:
Hakim Ramlee: Saya bukan Mr H