Pesawat Tergelincir Dari Landasan Di Melaka

0
68
Sehingga kini masih belum ada laporan Polis rasmi dibuat oleh pihak terlibat - melakahariini pic

Juruterbang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, kecuali hanya merasa sakit di bahagian dada akibat kesan hentakan dan  dihantar ke Hospital Melaka

MELAKA – Seorang pelatih yang sedang menjalani latihan penerbangan berdepan detik cemas, apabila pesawat ringan yang dipandunya hilang kawalan semasa mendarat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata kejadian tersebut dilaporkan berlaku sekitar 12.16 tengah hari tadi, di landasan RWY 21 Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam .

“Pesawat itu dikendalikan oleh pelatih wanita berusia 23 tahun dan melibatkan sebuah pesawat International Aero Training Academy Sdn Bhd (IATAC) jenis Piper 28, dalam latihan penerbangan sebelum ia hilang kawalan semasa mendarat di RWY 21.

“Tindakan telah diambil di Post 1 untuk ketibaan ambulans,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jelasnya pesawat tersebut berjaya dikeluarkan sepenuhnya dari lokasi pada 12.50 tengah hari, manakala juruterbang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, kecuali hanya merasa sakit di bahagian dada akibat kesan hentakan dan  dihantar ke Hospital Melaka,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, masih belum ada laporan polis secara rasmi dibuat kepada pihak polis. – Bernama