Pengurus syarikat swasta rugi RM600,000, pelaburan tidak wujud

Mangsa membuat pelaburan saham berjumlah RM598,680 yang dimasukkan ke dalam akaun

0
71
Mohamad Fakhrudin menasihati supaya lebih peka dan tidak terpedaya dengan pulangan lumayan dalam jangka tempoh masa yang singkat - Gambar Utusan
Mohamad Fakhrudin menasihati supaya lebih peka dan tidak terpedaya dengan pulangan lumayan dalam jangka tempoh masa yang singkat - Gambar Utusan

KUALA LUMPUR — Seorang pengurus syarikat swasta kerugian RM598,680 gara-gara terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berusia 39 tahun itu berkenalan dengan seorang wanita tempatan yang terlibat urusan pelaburan saham dalam talian kononnya menawarkan pulangan menguntungkan.

“Mangsa tertarik dengan pelaburan itu lalu membuat bayaran keseluruhan berjumlah RM598,680 yang dimasukkan ke dalam beberapa akaun bank bermula dari 14 Nov 2022 hingga 11 Nov 2023.

“Bagaimanapun, mangsa tidak mendapat pulangan seperti yang dijanjikan sebaliknya suspek memberi pelbagai alasan seperti wang dilarikan rakannya dan keseluruhan aset disita polis,” katanya dalam kenyataan hari ini (22 Nov).

Mohamad Fakhrudin berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerima satu laporan berhubung kes berkenaan, semalam (21 Nov).

Beliau berkata masyarakat diseru dan dinasihatkan supaya lebih peka dan tidak terpedaya dengan pulangan lumayan dalam jangka tempoh masa yang singkat.

“Orang ramai perlu membuat semakan terlebih dahulu kesahihan aktiviti pelaburan daripada pihak Suruhanjaya Sekuriti di laman sesawang, https://www.sc.com.my/investor- alert bagi memastikan kewujudan sesuatu syarikat pelaburan,” katanya. — Bernama

Baca lagi: Guru rugi lebih lebih RM 300,000 dari satu panggilan telefon