Pendaki Malaysia Kongsi Detik Cemas Terperangkap Akibat Banjir Di India

0
92
Pendaki Malaysia seramai 10 orang yang terkandas akibat hujan lebat, ditemui selamat dan menganggap pengalaman mereka sebagai
Pendaki Malaysia seramai 10 orang yang terkandas akibat hujan lebat, ditemui selamat dan menganggap pengalaman mereka sebagai "pengembaraan gila".

Pendaki Malaysia lalui “pengembaraan gila” apabila cuaca berubah menjadi buruk secara mendadak di akhir jadual perjalanan.

NEW DELHI — Berkongsi cerita semasa ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi, kumpulan 10 pendaki dari Malaysia yang terkandas di lereng gunung di negeri Himachal Pradesh di India akibat hujan tanpa henti menceritakan pengalaman mereka sebagai “pengembaraan gila”.

Mereka yang tiba di India pada 30 Jun untuk pengembaraan trekking selama 12 hari, mengalami detik-detik cemas apabila cuaca yang mula-mula baik, merosot secara mendadak pada peringkat akhir jadual perjalanan mereka.

“Dalam tiga hari pertama, cuaca adalah baik. Tetapi ketika kami berkhemah di Hampta Pass, hujan turun tanpa henti selama tiga hari dan kami langsung tidak dapat menyeberangi sungai kerana arus deras,” kata Siew Wey Tyng, ketua kumpulan itu kepada Bernama.

Baca juga:
Banjir Di Wilayah India: Rakyat Malaysia Selamat -Wisma Putra

Trek Hampta Pass merupakan satu daripada laluan popular untuk pendaki tempatan dan asing.

Siew, 54, berkata kumpulannya terdiri daripada 10 rakyat Malaysia, seorang rakan dari Britain dan seorang lagi warga China yang berkahwin dengan warga Malaysia.

Anggota termuda kumpulan itu berumur 38 tahun dan yang paling tua berusia 65 tahun.

Hujan Tanpa Henti

Siew memberitahu hujan lebat tanpa henti telah memusnahkan tapak perkhemahan dan menjadikan lintasan sungai berbahaya. Mereka terputus hubungan dengan keluarga mereka pada 11 Julai ketika cuba keluar dari lereng gunung.

“Kami tidak pasti bagaimana kami akan menyeberangi sungai kerana arusnya sangat deras. Ia bertukar menjadi pengembaraan yang sangat gila,” kata Siew lagi.

“Kami bimbang kerana tidak dapat menghubungi ahli keluarga kami. Pada ketika yang sama, keluarga kami yang risau mula menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia,” tambahnya.

Dapat Bantuan Dari Pengendali Trek

Pengendali trek tempatan seramai dua puloh orang telah bekerja keras untuk memastikan kumpulan dari Malaysia itu dapat keluar dengan selamat.

Walaupun tiada rangkaian mudah alih, pemandu tempatan tersebut berjaya mendapatkan bantuan dengan menggunakan walkie-talkie.

Siew mencerita balik pengalaman mereka yang akhirnya dapat menyeberangi sungai menggunakan “zip line” yang disediakan oleh pengendali trek tempatan tersebut.

Setelah selamat keluar dari lerengan gunung, mereka akhirnya tiba di bandar Manali pada Rabu.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, yang telah menghubungi pihak berkuasa India untuk mendapatkan bantuan dalam mengesan mereka, berjaya menghubungi pendaki-pendaki tersebut di hotel mereka meginap.

Dari Manali pula, mereka melalui perjalanan lebih daripada 500 km, dan mengambil masa 21 jam untuk sampai ke New Delhi.

Hujan monsun lebat di utara India sejak kebelakangan ini telah menyebabkan air sungai melimpah, tanah runtuh dan banjir.

Mereka Akan Kembali

“Perjalanan sangat mencabar. Di satu tempat, jalan utama telah runtuh dan kami terpaksa melakukan lencongan dan memandu di jalan berbukit yang sempit. Suruhanjaya Tinggi Malaysia memberi sokongan yang mantap dan sentiasa berhubung dengan kami,” kata Siew.

Setibanya mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, mereka disambut oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Amizal Fadzli Rajali dan setiausaha kedua Jefri Harun.

Tidak dapat disangkal, Himachal Pradesh adalah satu tempat yang aman dan tenang ketika cuaca baik.

Ahli-ahli kumpulan pendaki itu berkata walaupun mereka melalui pengalaman yang pahit, mereka tetap berhasrat untuk kembali ke India untuk merasai lebih banyak pengembaraan.

“Hampta Pass adalah tempat yang indah. Malangnya kami berada di tempat yang salah pada masa yang salah. Ini tidak menghalang kami dan kami merancang untuk meneroka lebih banyak tempat di India,” kata Siew.

Himachal Pradesh ialah sebuah negeri di kawasan Himalaya di utara India. Ia adalah sebuah bandar pergunungan dan mempunyai banyak pusat peranginan yang menarik dan indah serta mempunyai sejarah yang unik. Himachal Pradesh merupakan satu tempat yang popular dengan penggemar trekking, pendaki gunung dan peluncur ski.

Ia mempunyai pengaruh Tibet yang kuat dan ianya tercermin dalam pembinaan kuil dan biara Buddhanya. Tahun Baru Tibet juga disambut dengan meriah di sana. — Mediahit