Pencerobohan Al-Aqsa: Malaysia Kutuk Keras Menteri Israel

0
38
Gambar Hiasan: Bernama
Gambar Hiasan: Bernama

Kementerian Luar Malaysia menganggap perbuatan menceroboh Masjid Al-Aqsa sebagai suatu provokasi dan meminta regim Israel bertanggungjawab.

PUTRAJAYA — Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, yang menceroboh Masjid Al-Aqsa dan perkarangannya pada 21 Mei, sambil menyifatkan perbuatan itu adalah provokasi dan pencerobohan terancang yang jelas terhadap status quo politik Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif.

Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa Malaysia mengulangi gesaan agar anggota masyarakat antarabangsa meminta rejim Israel bertanggungjawab ke atas provokasi dan pencerobohan berterusan yang memburukkan lagi keadaan.

Menurut kenyataan itu lagi, “Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mesti menunaikan tanggungjawab seperti termaktub dalam Piagam dan segera menuntut rejim menghentikan tindakan provokasi demi keamanan dan kestabilan di rantau tersebut.

Malaysia Terus Bersolidariti Dengan Palestin

“Malaysia terus bersolidariti dengan rakyat Palestin, dan menuntut hak mereka yang sah untuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.”

Media melaporkan bahawa pada Ahad (21 Mei), Ben-Gvir menceroboh masjid Al-Aqsa untuk kali kedua sejak memegang jawatan itu dan mengisytiharkan bahawa Israel “bertanggungjawab” ke atas tapak suci Baitulmaqdis.

Rakyat Palestin mengecam tindakan itu dan ketegangan terus berlanjutan antara Israel dan Palestin. — mediahit

Baca juga:
Judge Sebli’s Ruling On Najib Case Merits ‘Determination’