Pemilihan Umno: JPU Sahkan Kemenangan Tidak Rasmi Beberapa Jawatan Utama

1
38
Pic for illustration purpose - credit Umno Putrajaya website.

Tiada perubahan di peringkat dua jawatan tertinggi bagi Wanita Umno manakala dua lagi sayap telah mendapat ketua dan naib ketua yang baharu

KUALA LUMPUR — Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU), Shahrir Samad telah mengesahkan kemenangan tidak rasmi beberapa jawatan utama pemilihan parti yang dipertandingkan pada Sabtu (Mac 11), sehingga jam 8.00 malam tadi.

Menurut Umno Online, keputusan pada peringkat ketua bagi Wanita Umno dan sayap Pergerakan Pemuda serta Puteri telah jelas kelihatan meskipun pihak Ibu Pejabat masih lagi menunggu lebih kurang lapan bahagian menghantar jumlah pengundian.

“Kita sedia maklum bahawa semalam kita telah mengadakan perwakilan sayap di peringkat bahagian. Pengiraan undi telah bermula sejak malam semalam sehingga ke saat ini.

“Jumlah dan keputusan pengundian telah dihantar bahagian-bahagian ke Ibu Pejabat Umno. Kita dapat lihat keputusan tidak rasmi sehingga jam 8.00 malam ini.

“Pada peringkat ketua-ketua Wanita dan sayap Pergerakan Pemuda mahupun Puteri sudah kelihatan jelas keputusannya meskipun tinggal tujuh atau lapan bahagian yang belum menghantar keputusan,” katanya semasa sidang media yang diadakan Ahad (12 Mac), di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato Onn di sini.

Menurut Shahrir, tiada perubahan di peringkat dua jawatan tertinggi bagi Wanita Umno manakala dua lagi sayap telah mendapat ketua dan naib ketua yang baharu.

“Kedudukan calon-calon yang mendapat tempat sebagai ketua secara tidak rasmi telah mencapai kemenangan untuk saya sahkan.

“Di peringkat Wanita Umno, kita dapat lihat tiada perubahan dari segi kedudukan Ketua dan Naib Ketuanya Noraini Ahmad kekal bersama Norliza Abd Rahim. Jadi, tiada perubahan pada jawatan tertinggi untuk Wanita Umno.

Orang lama dan orang baru. Sama hebat, sama handal. Mana satu pilihan akar umbi untuk Ketua Wanita sessi ini?
Noraini Ahmad (kanan) berjaya pertahankan kerusi Ketua Wanita Umno yang disandangnya sejak 2018 dengan mengalahkan pencabarnya Shahrizat Abdul Jalil. — MH graphics

“Di peringkat Pergerakan Puteri Umno pula, kita dapat menyaksikan Nurul Amal Mohd Fauzi berjaya dipilih sebagai ketua pada musim pemilihan ini, manakala Naib Ketua Pergerakan Puteri pula disandang oleh Siti Sokhleha Nordin dan kedudukannya tidak tergugat,” katanya lagi.

Ujar beliau lagi, pada jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno sahaja yang belum dapat dipastikan kerana berlaku persaingan sengit antara calon-calon bertanding.

“Untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Akmal Saleh kekal dihadapan meninggalkan pencabarnya yang lain. Baki bahagian-bahagian yang belum menghantar keputusan tidak dapat mengubah kedudukan beliau.

“Hanya jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno sahaja kelihatan ada persaingan agak sengit antara Mohd Hairi Md Shah dan pencabarnya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham dan masih belum dapat ditentukan kemenangan masing-masing.

“Saya akan sahkan secara rasmi apabila semua keputusan diterima,” katanya lagi.

Seramai 164,000 perwakilan telah menzahirkan pengundian mereka bagi menentukan kedudukan calon-calon yang menawarkan diri bagi jawatan-jawatan dipertandingkan, semalam.

Sebanyak 189 daripada 191 bahagian telah mengadakan persidangan sayap di bahagian masing-masing semalam berikutan terdapat dua bahagian telah digantung iaitu Tanah Merah dan Kota Kinabalu.