KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU), Shahrir Samad mengesahkan kemenangan terkini berapa jawatan utama parti yang dipertandingkan sempena Pemilihan Umno 2023/2026.
Menurut laporan dari Umno Online, meskipun tinggal berbaki empat bahagian belum menghantar keputusan pengundian, ianya jelas tidak menggugat kedudukan beberapa jawatan yang telah dimenangi secara majoriti.
Shahrir berkata bahawa daripada 187 bahagian, ada empat bahagian belum menghantar keputusan mereka tetapi beliau berpendapat bahawa ianya tidak akan mengubah kedudukan jawatan-jawatan utama yang telah dimenangi secara majoriti.
“Jawatan-jawatan yang saya maksudkan ialah Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan juga Naib Presiden UMNO,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.
“Bagi jawatan Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amiruldin telah mendapat 176 undi dan mengekalkan jawatannya bagi penggal ini. Manakala Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah telah berjaya memperoleh 127 undi bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap.
“Untuk jawatan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah memperoleh undi tertinggi iaitu 126 undi diikuti Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (115) dan muka baharu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan 109 undi,” katanya lagi.
“Untuk 25 jawatan MKT, kita hanya dapat tunjukkan kedudukan mereka seperti dalam paparan. Kalau dilihat kepada jawatan ini, ada muka baharu termasuk mereka yang pernah dilantik sepanjang penggal lalu.
Menurutnya, ada muka-muka baharu daripada kalangan mereka yang dilantik pada penggal dahulu dan pada penggal kali ini menang atas sokongan bagi diri mereka sendiri.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa dalam masa tiga hari pihak JPU dan Jawatankuasa Bantahan akan menimbang segala bantahan diterima berkaitan pemilihan ini.
Pada minggu lalu, setelah selesai perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian, ada beberapa keputusan dibuat, setelah mendapat beberapa bantahan.
“Terdapat empat daripada 191 bahagian yang telah digantung dan tidak akan terlibat dari segi soal keputusan pemilihan jawatan-jawatan MKT. Dua daripadanya ialah UMNO Bahagian Tanah Merah dan Kota Kinabalu yang diumumkan sebelum ini. Dua lagi bahagian ialah Johor Bahru dan Beluran. Keempat-empat bahagian ini tidak akan terlibat dalam keputusan jawatan-jawatan peringkat pusat dan akan mengadakan semula mesyuarat perwakilan mereka selepas ini,” katanya.