Pelakon Ridzuan Hashim Selamat Dikebumikan

0
87
Jenazah pelakon Ridzuan Hashim selamat disemadikan malam tadi di Tanah Perkuburan Hulu Langat.
Jenazah pelakon Ridzuan Hashim selamat disemadikan malam tadi di Tanah Perkuburan Hulu Langat.

Jenazah pelakon popular tanah air Ridzuan Hashim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua malam tadi, diiringi ahli keluarga dan rakan artis.

HULU LANGAT — Jenazah pelakon Allahyarham Ridzuan Hashim, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Dusun Tua, di sini, jam 8.30 malam ini.

Sebelum ini, jenazah arwah disempurnakan di Surau Kuarters Hospital Kuala Lumpur sebelum di bawa ke Masjid Al-Mustaqqin, Hulu Langat, untuk disolatkan.

Lebih 300 ahli keluarga, saudara mara, rakan artis dan kenalan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah, antaranya pengarah Yusof Haslam, pelakon Edika Yusof, Fizo Omar, Norman Haki, Ieda Moin dan ramai lagi.

Ridzuan Meninggal Akibat Serangan Jantung

Arwah meninggal dunia di rumahnya di Bandar Tun Razak ketika sedang sarapan pagi bersama anaknya, antara jam 11 pagi ke 12 tengahari.

Beliau dilaporkan rebah dan jatuh dari kerusi makan secara tiba-tiba dan terus tidak sedarkan diri. Anaknya cuba memberi bantuan CPR sebelum menghubungi ambulan namun Ridzuan, 62, disahkan telah meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Kuala Lumpur (HKL), disebabkan oleh serangan jantung.

Arwah dipercayai menghidap penyakit jantung sejak tiga tahun dahulu.

Allahyarham lahir pada 13 Ogos 1961 di Kuala Lumpur dan mula mencipta nama sebagai seorang peragawan sebelum mula berlakon dalam drama televisyen pertamanya untuk siaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjudul Adam & Hawa, pada tahun 1986.

Pada tahun 1991 beliau berkahwin dengan pelakon Didie Alias namun mereka bercerai pada 2002. Mereka mendapat lima orang anak hasil dari perkongsian hidup mereka itu.

Sepanjang 37 tahun pembabitannya dalam dunia seni, Ridzuan membintangi berpuluh-puluh filem antaranya Seri Dewi Malam, Cinta 200 Ela, SH3, Qaisy & Laila, 1957: Hati Malaya, Dunia Baru The Movie, Cicakman 2 – Planet Hitam, Maut, Jalang, My Spy, KL Gangster, KL Gangster 2, Pilot Cafe dan terakhir, Daddyku Gangster, tahun lalu.

Popular Melalui Watak “King” Dalam Filem KL Gangster

Antara filem yang menaikkan nama arwah adalah filem KL Gangster di mana arwah menghidupkan watak “King”.

Arwah Ridzuan juga pernah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia kesembilan untuk watak sebagai seorang wartawan bernama Razief menerusi filem arahan Raja Ahmad Alauddin, Hati Bukan Kristal.

Selain itu, Ridzuan juga pernah terbabit dalam produksi antarabangsa iaitu filem blockbuster India, Don 2 bersama Shah Rukh Khan dan telemovie produksi Jerman, Love & Death on Java. — mediahit