PBB gesa koridor kemanusiaan dibuka segera tanpa syarat

Beliau turut menegaskan segala bentuk keganasan dan pertumpahan darah antara Palestin dan Israel ketika ini dihentikan serta merta.

0
70
Dennis Francis, Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) - Gambar X

NEW YORK — Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dennis Francis menggesa agar koridor kemanusiaan dibuka dengan kadar segera, tanpa sebarang syarat.

Ketika berucap dalam Sesi Khas Kecemasan ke-10 UNGA di New York, beliau turut menegaskan segala bentuk keganasan dan pertumpahan darah antara Palestin dan Israel ketika ini dihentikan serta merta.

Ujarnya, satu-satunya jalan menuju perdamaian menyeluruh dan berkekalan ialah penyelesaian dua pihak selaras dengan undang-undang antarabangsa, Piagam PBB dan resolusi negara bersatu yang relevan.

Sesi khas ini diadakan selepas Majlis Keselamatan PBB (UNSC) minggu lalu gagal menerima pakai resolusi yang meminta koridor kemanusiaan dalam konflik itu.

Minggu lalu, UNSC yang tidak sependapat mengenai isu Israel-Palestin, menolak draf resolusi Rusia yang menggesa ‘pemberhentian konflik atas dasar kemanusiaan.

Hanya lima daripada 15 negara anggota menyokong resolusi itu, yang mengutuk semua keganasan terhadap orang awam dan semua tindakan pengganas tanpa menamakan Hamas.

Gesaan untuk mengadakan sidang tergempar itu dibuat selepas Duta PBB Jordan, Mahmoud Hmoud dan Duta PBB Mauritania, Sidi Mohamed Laghdaf menghantar surat di bawah kapasiti anggota kumpulan Liga Arab dan Organisasi Kerjasama Islam.

Malah surat gesaan sama turut diterima dari perwakilan Malaysia bersama Indonesia, Laos, Vietnam, Brunei, Kemboja serta Rusia.