Orang asli masih takut akan harimau berkeliaran

Harimau belang yang menyerang penduduk itu masih belum ditangkap

0
73
Seorang orang asli mendapati anjingnya mati diterkam oleh harimau - Gambar Astro Awani
Seorang orang asli mendapati anjingnya mati diterkam oleh harimau - Gambar Astro Awani

GUA MUSANG — Masyarakat Orang Asli yang tinggal di pendalaman masih dibelenggu ketakutan dengan kehadiran harimau belang apabila anjing peliharaan ditemukan mati dengan kesan tusukan kuku dipercayai akibat diterkam binatang buas itu di Kampung Tendrik, Pos Bihai pada Ahad lepas (29 Okt).

Apek Asud, 39, daripada suku kaum Temiar berkata kejadian itu disedari kira-kira 4 pagi apabila terdengar bunyi salakan anjing di tepi rumahnya.

“Salakan anjing ini berkemungkinan amaran haiwan itu yang menandakan terdapat ancaman daripada binatang buas … kita tahu pak belang masih ada berkeliaran di kawasan penempatan jadi saya tidak berani keluar untuk melihat ketika anjing menyalak kuat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini (31 Okt).

Apek berkata keesokan paginya dia menjumpai bangkai anjing itu dengan kesan tusukan kuku pada bahagian badan dipercayai diserang harimau berhampiran rumahnya.

Di Pos Pasik pula, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPPKOA) Mohd Sani Nahtiman berkata penduduk berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan penemuan kesan tapak kaki dipercayai milik harimau belang Jumaat lepas (27 Oktober).

Binatang buas

“Kesan tapak kaki harimau itu masih jelas kelihatan ketika penduduk melalui kawasan itu keesokannya (Sabtu), jadi saya meminta penduduk agar sentiasa berwaspada dan dinasihatkan bergerak secara berkumpulan jika ingin ke mana-mana.

“Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diharap dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin kerana harimau belang yang menyerang penduduk pada awal bulan ini masih belum ditangkap,” katanya.

Pada 4 Oktober lepas, Pisie Amud, 25, ditemukan meninggal dunia dengan kaki kirinya hilang disyaki dibaham harimau selain kesan cakaran haiwan itu pada kepala dan badannya di kawasan hutan Pos Pasik di sini.– Bernama

Baca lagi: Sasar 50 peratus kawasan luar bandar terima 5G, pertengahan 2024