Najib Razak: Selebriti Politik Dan Hero Rakyat

0
58
Lambaian seorang 'selebriti' yang dirindui rakyat - Gambar fail MH
Lambaian seorang 'selebriti' yang dirindui rakyat - Gambar fail MH

Jenama ‘Bossku’ Najib Razak menjadikan beliau seorang ‘selebriti’ politik dan ‘hero’ rakyat sehinggakan semua orang ternanti-nanti kisah selanjutnya tentang insan ini.

Najib Razak, rakyat Malaysia mana yang tidak kenal susuk ini. Daripada kanak-kanak sehingga ke orang tua. Jenama ‘Bossku’ amat di kenali baik di bandar atau desa. Suka atau tidak, Najib Razak adalah umpama ‘selebriti’ dari dunia politik, dan ‘hero’ bagi rakyat bagi semua lapisan masyarakat. Semua orang menantikan apa kisah selanjutnya tentang insan yang bernama Najib Razak ini.

Kemasyhuran beliau ini menyebabkan umpama negara terbelah dua apabila sokongan terhadap kes-kes mahkamah beliau kelihatan tidak telus dan adil lebih-lebih kes SRC International yang berjaya menyebabkan Najib Razak kekal dalam penjara. Bukan kerana bapa beliau adalah Tun Razak, tetapi aura beliau begitu dekat di hati rakyat yang kini semakin lama, semakin melihat kesilapan demi kesilapan pemilihan mereka semasa pilihanraya-pilihanrya yang telah berlangsung.

Pengampunan Najib Razak

Setelah selesai kes SRC International Najib Razak, kini sibuk pula rakyat berbalah tentang pengampunan diraja. Sana sini petisyen menyokong pengampunan dan petisyen menolak pengampunan begitu rakcak dimedia sosial.

Komen-komen, beberapa orang ahli politik tanpa mengira parti mana semakin menjadi jadi. Rakyat faham ‘Najib sells’ dan mereka berpendapat para pemimpin ini semua mahu tunggang isu Najib untuk menaikkan populariti masing-masing.

Ada yang ikhlas, ada yang sekadar melepas batuk di tangga dan ada yang sahaja mahu ‘masuk jarum’. Masing-masing ada sahaja sebab peribadi untuk memberikan sepatah dua kata tentang apa sahaja yang melibatkan bekas pemimpin kesayangan rakyat jelata ini.

Adakah UMNO main wayang?

Setelah diasak bertubi-tubi oleh para penyokong Najib Razak yang terdiri daripada akar umbi UMNO sendiri dan rakyat jelata, akhirnya pada 7 Mac, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menetapkan dan bersetuju 191 bahagian UMNO menghantar petisyen permohonan pengampunan diraja buat Najib Razak. Namun, ia dilihat agak suam-suam kuku. Setakat itu sahaja yang UMNO sebagai parti terbesar dan ‘pelindung’ orang melayu mampu buat?

Pada hari yang sama juga, pemuda UMNO bergegak-gempita menunjuk bantahan terhadap serangan di Semenanjung Gaza. Jika nak dibandingkan dengan Najib Razak, pada hemat kebanyakan rakyat, patut pemuda dahulukan perkara di dalam negara, di mana isu keadilan kehakiman yang tercemar itu lebih penting dan perkara itulah yang patut ditonjolkan. Isu Gaza ini sudah lapuk dan saban tahun mesti ada terutamanya pada bulan Ramadan.

Daripada bakar bendera dan melaung tidak tentu pasal, baik berarak beramai-ramai hantar petisyen pengampunan diraja. Kes ini bukan kes Najib Razak semata, tetapi ia adalah kes keadilan yang telah dicabuli. Jika seorang bekas perdana menteri pun boleh kena ‘buli’ dengan sistem kehakiman, apatah lagi rakyat biasa.

Kalau benar, pemuda UMNO mahu menunjukkan tentangan terhadap isu Gaza yang umpama ‘direncanakan’ setiap tahun, gunalah saluran-saluran diplomatik antarabangsa. Malaysia adalah anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), ASEAN dan pelbagai lagi pertubuhan anak Malaysia di perantauan. Mengapa tidak dihantar satu bentuk resolusi mengutuk kekejaman Gaza? Ini tidak, hanya riuh sebagai jaguh kampung sahaja.

Adakah Rakyat Lebih Prihatin Dari Pemimpin UMNO?

Pada 7 April 2023, di tarikh yang sama sekumpulan NGO Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Najib (GGKN) Razak membuat laporan polis berkenaan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara Idrus Harun disyaki melindungi Hakim Nazlan yang mempunyai ‘conflict of interest’ dalam kes SRC International Najib Razak daripada dikenakan sebarang tindakan.

Wakil jurucakap NGO tersebut adalah dua orang wanita iaitu Hamidah Osman dan Hasnah Abdul Rahman, dan Huan Cheng Guan, Presiden Parti Cinta Malaysia turut hadir memberikan sokongan terhadap rakan-rakan NGO yang sanggup berhujan untuk satu laporan polis dibuat bagi memastikan satu bentuk keadilan yang selaras dengan undang-undang negara.

Jurucakap NGO Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Najib Razak turut menggesa Perdana Menteri Malaysia  Anwar Ibrahim untuk memastikan tiada sesiapa yang lebih teratas daripada undang-undang negara. - Gambar MH oleh Jebat Shinchan
Jurucakap NGO Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Najib Razak turut menggesa Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim untuk memastikan tiada sesiapa yang lebih teratas daripada undang-undang negara. – Gambar MH oleh Jebat Shinchan

Mereka ini hanya mewakili suara rakyat yang mahukan keadilan untuk Najib Razak sebagai bukti bahawa harapan untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Malaysia masih wujud, itu sahaja. Laporan polis ini juga mahukan ketegasan tindakan dari pihak Perdana Menteri bahawa tiada sesiapa pun lebih atas daripada undang-undang Malaysia ini.

Bagi Huan pula, kes Najib Razak ini adalah satu bentuk ketidakadilan yang tidak sepatutnya berlaku pada ketika ini, Perdana Menteri yang ke -10 ini sepatutnya lebih mengerti apa itu ketidakadilan kerana beliau sendiri telah dipenjara semasa era regim Mahathir Mohammad.

Antara peminat setia 'selebriti' Najib Razak adalah Huan Cheng Guan, Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) bersama para penyokong NGO dan penulis (paling kanan). - Fail foto MH
Antara peminat setia ‘selebriti’ Najib Razak adalah Huan Cheng Guan, Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) bersama para penyokong NGO dan penulis (paling kanan). – Fail foto MH

Polemik Keadilan Yang Tiada Penghujung

Selagi Najib Razak dipenjarakan kerana sistem kehakiman yang boleh dipersoalkan oleh rakyat jelata, selagi itu polemik Keadilan negara Malaysia tiada bernokhtah. Rakyat tidak mahu menjadi ‘mangsa’ ketidakadilan seperti Najib Razak, dan berdoa agar semua yang berlaku kepada beliau dan keluarga akan berakhir.

Baca juga:-
Najib SRC Conviction: Does He Deserve A Pardon?
Najib @ Bossku – ‘Popularity’ With Umno, Malays, Arises From Relentless ‘Persecution’

Pada ketika ini pihak yang menyokong Permohonan Pengampunan Diraja dan pihak yang tidak menyokong masing-masing sedang sibuk membuat petisyen online dengan harapan akan mengalihkan sokongan rakyat kepada pihak mereka, dan panel pengampunan akan mengikut ‘citarasa’ mereka.

Mungkin mereka terlupa, perkara ini adalah tertakluk kepada budi bicara tertentu yang tiada kena mengena dengan pengaruh petisyen, sentimen rakyat atau kehendak ahli politik.

Semoga mereka yang akan memperincikan Permohonan Pengampunan Diraja ini dikurniakan kebijaksanaan dan ehsan, agar mampu membezakan antara intan dan kaca dalam meneliti hujahan-hujahan pihak yang terbabit dalam proses ini. – mediahit