MKT Umno Minta Najib Diberi Pengampunan Penuh oleh Agong

0
67
Mesyuarat MKT Umno. Gambar: Umno Online

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat hari ini memohon ihsan Yang di Pertuan Agong (YDPA) untuk mempertimbangkan pengampunan penuh buat bekas Perdana Menteri, Najib Razak

KUALA LUMPUR– Setiausaha Agong Umno, Dr Asyraf Wajdi Dasuki melalui satu kenyataan media hari ini berkata, pengampunan penuh oleh YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah seperti yang telah diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

MKT Menerima Memorandum Dari 191 Bahagian Pohon Pengampunan Buat Najib

Menurut kenyataan media itu lagi, MKT telah menerima memorandum dari 191 Bahagian termasuk Wanita dan Sayap-Sayap Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri memohon agar kepimpinan tertinggi UMNO membela bekas Presiden dan Perdana Menteri yang banyak jasanya kepada rakyat dan negara.

Asyraf berkata, “MKT sebulat suara bersetuju untuk memohon mengadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong beserta dengan memorandum yang ditanda-tangani oleh seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan Sayap-Sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.”

Setiausaha Agong Umno, Asyraf Wajdi Dasuki berkata Umno akan mempersembahkan warkah rayuan memohon ihsan YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar mempertimbangkan pengampuan penuh buat bekas Presiden Umno, Najib Razak

Tambah beliau, MKT berdukacita dan mengetahui keresahan yang dirasakan oleh ahli-ahli UMNO di akar umbi terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan bekas Presiden itu untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara beliau berhubung kes SRC, yang dilihat tidak adil.

Najib Razak telah disabitkan kesalahan dalam kes RM42 juta dana SRC International dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan saman sebanyak RM210 juta pada 23 Ogos 2022.

Pada 31 Mac tahun ini, permohonan Najib untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap hukuman tersebut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Permohonan pengampunan penuh buat Najib Razak adalah seiring dengan kenyataan penghakiman yang dizahirkan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Yang Amat Arif, Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang turut menyatakan bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil dan wajar dibebas dan dilepaskan.

Mesyuarat MKT hari ini juga telah menetapkan tarikh Perhimpunan Agong Umno bagi tahun 2023 akan diadakan dari 7 hingga 10 Jun 2023– mediahit

Baca juga:-

NGO Keadilan Untuk Najib: Tiada Sesiapa Di Atas Undang-undang

Rosmah Mansor – Harapan Kami, Najib Razak Pulang