Melaka Buat Percubaan Zon Bebas Kenderaan

0
127
Percubaan awal hari tanpa kereta di Banda Hilir mendapat respon positif orang ramai - Gambar Kosmo

Kerajaan negeri akan membuat kajian terperinci, berkaitan aliran trafik di laluan sekitar kawasan berkenaan berdasarkan percubaan pertama inisiatif berkenaan.

ALOR GAJAH — Pelaksanaan percubaan ‘Zon Bebas Kenderaan’, yang melibatkan penutupan sebahagian jalan di sekitar Banda Hilir di sini semalam selama enam jam, berjalan lancar dan mendapat kerjasama baik daripada semua pihak.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagaimanapun berkata kerajaan negeri akan membuat kajian terperinci, berkaitan aliran trafik di laluan sekitar kawasan berkenaan berdasarkan percubaan pertama inisiatif berkenaan.

“Aliran trafik di kawasan terlibat nampaknya tidak begitu sesak, kerana jalan lingkaran luar dari kawasan yang ditutup terutama sekitar Bangunan Merah, dapat dikawal dengan baik.

“Perkara ini kita akan tambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan aduan atau respons daripada orang awam, sepanjang pelaksanaan ‘Zon Bebas Kenderaan’,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim dan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam.

Ab Rauf berkata berdasarkan tinjauan yang dilakukannya di lapangan semasa pelaksanaan inisiatif itu, kebanyakan peniaga dan pengusaha kecil dan sederhana di kawasan berkenaan, menyambut baik langkah tersebut yang dilihat memberi manfaat kepada mereka.

Beliau berkata penutupan jalan berkenaan memberi ruang kepada peniaga untuk berniaga di kaki jalan atau di luar premis mereka, sekali gus meningkatkan pendapatan.

“Rata-rata peniaga yang ditemui semalam memberi respons positif, kerana mereka dapat membuka kedai hingga lewat malam dan laluan yang ditutup itu membolehkan pelancong singgah ke kedai mereka,” katanya.

Semalam, kerajaan negeri Melaka melaksanakan ‘Zon Bebas Kenderaan’ secara percubaan setiap Sabtu bermula 6 petang hingga 12 tengah malam.

Penutupan jalan sejauh kira-kira 2.3 kilometer itu, melibatkan Jalan Istana, Jalan Mahkamah, Jalan Gereja, Lorong Gereja, Jalan Laksamana serta sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob dan Jalan Merdeka. — Bernama