Mat Sabu: Rakyat Palestin berhak ke atas tanah air mereka

Beliau seru agar seluruh dunia bersatu membangkang pencerobohan Israel ke atas Palestin

0
106
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu mengharapkan agar seluruh dunia bersatu untuk membangkang dan mengutuk pencerobohan Israel ke atas Palestin - Gambar FB Mohamad Sabu
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu mengharapkan agar seluruh dunia bersatu untuk membangkang dan mengutuk pencerobohan Israel ke atas Palestin - Gambar FB Mohamad Sabu

BUKIT JALIL — Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkata rakyat Palestin mempunyai hak untuk mendapat kembali tanah air mereka.

Beliau berkata begitu dalam ucapannya pada Himpunan Malaysia bersama Palestin yang berlangsung pada Selasa (24 Okt) di Stadium Arena Axiata, di sini, yang dihadiri lebih kurang 50,000 orang dari pelbagai latar belakang.

Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, berkata Israel telah melakukan kezaliman ke atas rakyat Palestin selama berpuluh-puluh tahun.

“Israel membunuh dan menghalau rakyat Palestin daripada tempat mereka.

“Pusat perlindungan dikepung, beribu kanak-kanak, wanita, orang-orang tua mati terkoban dan kawasan turut dirampas untuk dijadikan rumah baru di sebelah Tebing Barat.

“Adakah mereka berpuas hati? Tidak,” tegas beliau penuh semangat.

“Sekarang, rakyat di seluruh dunia bangun monyokong Palestin.

“Sekarang hanya tinggal Amerika dan Britain yang menyokong perjuangan negara Israel. Negara-negara Eropah lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka juga turut bangun membela nasib rakyat Palestin” katanya lagi.

Bersatu

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu juga mengharapkan agar seluruh dunia bersatu untuk membangkang dan mengutuk pencerobohan Israel ke atas Palestin.

Mat Sabu yakin bahawa Palestin akan mendapat kebebasan yang mereka nantikan dan kesombongan Zionis Israel akan tamat.

“Kita yakin Israel akan lenyap tidak lama lagi.”

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia agar sentiasa berada dan terus menyokong perjuangan Palestin.

Ribuan peserta hadir dengan memakai baju putih dan memegang pelbagai jenis sepanduk, antaranya bertulis “Israel Cuak” sebagai tanda solidariti dengan Palestin.

Perhimpunan yang turut dihadiri menteri-menteri, wakil berbagai jenis pertubuhan dan juga wakil dari beberapa kedutaan asing di Malaysia diakhiri dengan ucapan penuh semngat dari Perdana Menteri Anwar Ibrahim. — MalaysiaXpress

Baca juga: Malaysia mengutuk pencerobohan Israel ke atas Palestin