Masyarakat Cina Terengganu Mahu Perubahan

0
86
Masyarakat Cina di Terengganu harap pemimpin yang dipilih pada PRN kali ini akan sentiasa mengambil berat dan prihatin dengan masalah dihadapi penduduk. Gambar Bernama.
Masyarakat Cina di Terengganu harap pemimpin yang dipilih pada PRN kali ini akan sentiasa mengambil berat dan prihatin dengan masalah dihadapi penduduk. Gambar Bernama.

Masyarakat Cina di Terengganu harap pemimpin yang dipilih pada PRN kali ini akan sentiasa mengambil berat dan prihatin dengan masalah dihadapi penduduk.

CHUKAI — Umum mengetahui kepentingan politik masyarakat Cina hari ini berkisar kepada tiga teras utama iaitu ekonomi, pendidikan serta warisan dan jika ketiga-tiga aspek itu dipenuhi, pastinya undi mereka di Terengganu akan dapat diraih.

Pemilik kedai kopi, Hoo So Boon, 73, berkata sejak Terengganu berada di bawah pemerintahan PAS, setakat ini belum ada lagi perubahan yang dibawa terutama untuk peniaga daripada masyarakat Cina sepertinya.

“Saya sudah berniaga sejak tahun 60-an lagi tetapi saya tengok hari ini tidak ada bantuan untuk peniaga. Kedai kopi ini pun seperti hanya menunggu masa untuk roboh. Tiada siapa yang peduli dekat peniaga kecil-kecilan ini.

“Anak-anak saya pun ramai yang berhijrah ke negeri lain dan ada seorang bekerja di Singapura untuk mencari rezeki… agak susah cari makan dekat sini,” kata ayah kepada lima anak itu kepada Bernama.

Seorang penduduk, Lee Kik Wah, 55, pula berkata kelembapan ekonomi di sini menjadikan peniagaannya semakin merudum dan terpaksa mencari alternatif lain untuk menjana pendapatan.

Mahu Pemimpin Prihatin

“Jika sebelum ini saya hanya berniaga alat ganti motosikal tetapi kini saya terpaksa melakukan dua, tiga kerja seperti menjual barang di dalam talian untuk menampung kehidupan termasuk membayar gaji pekerja,” katanya.

Bagi Seng Chuan, 49, sektor pendidikan di sini bukanlah tidak bagus tetapi jika dibandingkan dengan negeri lain seperti Selangor dan Pulau Pinang, Terengganu agak kekurangan institut pengajian tinggi awam mahupun swasta.

“Anak saya sendiri pun lebih berminat untuk menyambung pengajian di institut pengajian tinggi di luar negeri ini kerana program yang ditawarkan di universiti atau kolej di sini agak terhad.

“Saya harap pemimpin yang terpilih dalam Pilihan Raya Negeri Terengganu pada 12 Ogos ini sentiasa mengambil berat mengenai masalah dihadapi dan prihatin dengan rakyat termasuk masyarakat Cina di sini,” katanya.

Daripada sejumlah 930,894 pengundi berdaftar di Terengganu, seramai 26,613 merupakan pengundi Cina.

Terengganu berada di bawah pemerintahan PAS apabila parti itu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 dengan memperoleh 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri. — Bernama

Baca juga:
PRN Kelantan: 40 DUN Satu Lawan Satu, Kemampuan Parti, Pengundi Dicabar