Mangsa banjir di Kedah meningkat, Perak kekal

Mangsa banjir meningkat kepada 231 daripada 74 manakala di Perak kekal 178 orang daripada 52 keluarga

0
114
menjadikan tiga PPS beroperasi di Kedah itu setakat ini manakala empat PPS masih beroperasi melibatkan satu di Hilir Perak - Gambar Harian Metro
Tiga PPS beroperasi di Kedah setakat ini manakala empat PPS masih beroperasi melibatkan satu di Hilir Perak - Gambar Harian Metro

KUALA LUMPUR — Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat dengan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kota Setar manakala di Perak, jumlah mangsa kekal setakat pagi ini (16 Nov).

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan hari ini berkata sebuah lagi PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman petang semalam (15 Nov), menempatkan lima mangsa daripada dua keluarga, menjadikan tiga PPS beroperasi di daerah itu setakat ini.

Beliau berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 231 mangsa daripada 74 keluarga pagi ini berbanding 210 mangsa daripada 68 keluarga malam tadi, apabila dua PPS yang telah dibuka di daerah Kota Setar sebelum ini iaitu SK Titi Gajah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Merah mencatatkan pertambahan mangsa masing-masing kepada 101 dan 94 orang.

Antara kawasan terjejas di daerah itu adalah Kampung Seberang Chegar, Kampung Alor Gunung, Kampung Pulau Kerengga, Kampung Alor Senjaya, Kampung Alor Perang, Kampung Bohor, Kampung Anak Bukit, Kampung Alor Gunong dan Kampung Seberang Alor Gunong.

Sementara di daerah Kubang Pasu, Muhammad Suhaimi berkata jumlah mangsa di SK Malau yang dibuka sejak Isnin lepas kekal 31 orang daripada tujuh keluarga dengan kawasan terjejas banjir melibatkan Kampung Lahar, Kampung Paya Tok Keong, Kampung Paya Tok Teh dan Kampung Biak.

Keadaan banjir di negeri Perak

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan tiada pertambahan mangsa banjir direkodkan dan empat PPS masih beroperasi dengan jumlah mangsa kekal 178 orang daripada 52 keluarga pagi ini.

Empat PPS masih beroperasi melibatkan satu di Hilir Perak iaitu Dewan Serbaguna Padang Tembak yang menempatkan 89 orang daripada 27 keluarga serta dua di Kerian iaitu SK Changkat Lobak masih kekal 23 mangsa daripada empat keluarga dan SK Alor Pongsu juga kekal 57 orang daripada 19 keluarga.

Sekretariat itu memaklumkan di daerah Kinta pula, sembilan orang daripada dua keluarga dari Taman Meru 2C masih berada di Dewan Orang Ramai Taman Meru 2A. — Bernama

Baca lagi: Banjir di Perak meningkat, Selangor makin pulih