Lotus’s Malaysia Potong Harga 3,500 Barang Melalui Kempen Terbaharu

0
87
Lotus's Malaysia potong harga 3,500 barang melalui kempen terbaharu
Lotus's Malaysia potong harga 3,500 barang melalui kempen terbaharu

Lotus telah memperkenalkan promosi pengurangan harga lain seperti Segar & Murah, yang menawarkan pilihan produk segar pada harga lebih rendah dan tawaran belian dengan pembelian

KUALA LUMPUR — Lotuss Stores Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) sedang melabur RM40 juta melalui kempen #LotussLebihMurah bagi membantu rakyat Malaysia menangani kenaikan kos sara hidup.

Pengarah Eksekutif Pelanggan Lotus’s Malaysia, Vivian Yap berkata untuk membolehkan pelanggan menerima nilai yang lebih bermakna apabila membeli-belah, syarikat akan mengurangkan harga lebih 3,500 barangan runcit dan bukan barangan runcit sehingga 37 peratus sebagai sebahagian daripada promosi itu. 

“Kami faham ramai rakyat Malaysia sedang cuba menangani cabaran kenaikan kos sara hidup dan mahukan kestabilan harga serta kos barangan runcit dan hasil segar yang lebih rendah.   

“Jadi apa yang kami cuba buat adalah dengan memperjuangkan nasib pelanggan, membantu mereka menabung, menguruskan belanjawan mereka dengan lebih baik dan mengurangkan kesan inflasi dengan menawarkan banyak inisiatif,” katanya pada taklimat media bagi memperkenalkan kempen #LotussLebihMurah di Lotus Kepong hari ini.

Barang Kegemaran Pada Harga Lebih Murah

Yap berkata senarai luas produk #LotussLebihMurah merangkumi banyak barangan kegemaran isi rumah Malaysia seperti beras, pasta, minyak masak, mi segera, sardin dalam tin, ikan kembung, sos, kopi, teh, makanan sejuk beku, biskut, lampin, detergen, pencuci badan, cecair pencuci pinggan mangkuk dan susu formula untuk kanak-kanak. 

Pelanggan boleh menikmati harga yang lebih murah apabila mereka membeli-belah di semua 66 kedai Lotus, Lotus’s Shop Online dan Lotus di Lazada, Shopee, Food Panda dan Grab.

“Untuk ahli My Lotus’s, mereka boleh berjimat lebih-lebih lagi apabila menggunakan mata Lotus’s mereka dalam pembayaran.

“Ahli mengumpul mata apabila mereka membeli-belah dan menggunakannya untuk membayar barangan runcit, bila-bila masa di kedai atau dalam talian.

“Ini membantu mereka mengurangkan bil runcit mereka,” katanya.

Selain kempen itu, Yap juga berkata Lotus telah memperkenalkan promosi pengurangan harga lain seperti Segar & Murah, yang menawarkan pilihan produk segar pada harga lebih rendah dan tawaran belian dengan pembelian pada Jun lepas. 

Bagi keluarga yang mencari alternatif yang lebih murah, Lotus’s Malaysia menawarkan lebih daripada 3,000 barisan produk jenamanya di kedai-kedai fizikal serta dalam talian.

Selain itu, kesemua 59 medan selera Lotus’s di seluruh negara akan terus menawarkan menu makanan Menu Rahmah pada harga RM5 setiap satu untuk pelanggan dan keluarga yang mengunjungi kedainya. 

Selain itu, rangkaian pasar raya besar itu akan memperluaskan inisiatif Rahmah tidak lama lagi dengan memberikan diskaun 10 peratus ke atas bahan-bahan utama kepada pengendali makanan yang menawarkan Menu Rahmah, kata Yap. — Bernama

Baca juga:
MIDF Research Jangka Kerajaan Kekalkan Status Quo Harga Runcit Bahan Api Hingga Akhir 2023 – NewMediaHit