Lokman Adam bebas tuduhan sebar berita palsu mengenai Covid-19

Hakim memutuskan demikian selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lokman

0
106
Datuk Lokman Noor Adam (tengah, berbaju batik) dibebas dan dilepaskan oleh hakim Mahkamah Sesyen selepas didapati tiada kes prima facie terhadap beliau - Gambar FB Lokman Noor Adam
Datuk Lokman Noor Adam (tengah, berbaju batik) dibebas dan dilepaskan oleh hakim Mahkamah Sesyen selepas didapati tiada kes prima facie terhadap beliau - Gambar FB Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR — Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan menyebar berita palsu mengenai virus Covid-19, dua tahun lalu.

Hakim N. Priscilla Hemamalini memutuskan demikian selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 1 Oktober 2021, Lokman didakwa atas satu pertuduhan menyebarkan berita palsu di Facebook menggunakan profil ‘Lokman Adam’ dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam.

Menerusi satu rakaman audio visual pada 3 Mei 2021 jam 10.55 malam, Lokman mendakwa kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus Covid-19.

Rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 4.40 petang pada 9 Mei 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lokman diwakili peguam Logen Eskander manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh.

Sepanjang perbicaraan bermula 6 Mac lalu, seramai enam saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.

Lokman menaikkan status di dalam akaun Facebook beliau melahirkan rasa syukur dengan keputusan mahkamah yang berpihak kepadanya.

“Alhamdulillah, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membebaskan dan melepaskan saya daripada pertuduhan dibawah ordinan darurat selepas saya mempertikaikan kemasukan warga India ketika merebaknya varian Delta Covid 19

“Saya bersyukur dan gembira ini kes kedua saya dilepas dan dibebaskan.” katanya lagi.

Pada 23 Jun lalu, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Lokman Noor daripada satu lagi pertuduhan menyebarkan berita palsu di laman sosial sama, pada Meli 2021, berhubung kematian seorang pegawai polis akibat vaksin. — Malaysiaxpress

Baca juga: