Lelaki OKU maut, jatuh dari tingkat enam hospital Sultan Ismail

Hasil siasatan polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian berkenaan

0
98
Lelaki OKU maut, jatuh dari tingkat enam - Gambar MalaysiaGazette
Jatuh dari tingkat enam Hospital Sultan Ismail, lelaki OKU mental maut - Gambar MalaysiaGazette

JOHOR BAHRU — Seorang lelaki tempatan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam bangunan Hospital Sultan Ismail (HSI), petang semalam (6 Nov).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata dalam kejadian 5.20 petang itu, mangsa yang berusia 22 tahun merupakan seorang pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dimasukkan ke hospital pada pukul 12.30 tengah malam, Ahad (5 Nov) kerana perlu menjalani pembedahan di lutut kanannya yang dijadualkan pada esok (8 Nov).

“Namun, pembedahan dibatalkan kerana mangsa mengalami selsema dan beliau telah dibenarkan keluar daripada hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Siasatan

Raub turut meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-2203465.

Pengarah Kesihatan Negeri Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Dr Mohtar Pungut @ Ahmad dalam kenyataan berasingan berkata mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda kemurungan atau gejala psikiatri, sepanjang berada di dalam wad.

“Selepas pembedahan kaki ditangguhkan kerana pesakit menghidapi jangkitan saluran pernafasan, pesakit telah dibenarkan pulang pada pukul 5.05 petang, semalam dan sementara menunggu proses discaj, pesakit dan waris telah menunggu di hadapan wad.

“Tanpa disedari waris, pesakit telah berjalan berseorangan ke aras enam sebelum pada pukul 5.20 petang, seorang saksi mendakwa ternampak pesakit berdiri di tebing struktur bangunan di aras enam dan melompat ke bawah,” kata Mohtar.

Beliau berkata pesakit terus diberi bantuan kecemasan oleh pegawai perubatan dan pasukan paramedik serta dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI untuk rawatan lanjut.

“Pesakit kemudian telah menerima rawatan kecemasan di zon merah, namun tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 21 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki terjun dari tingkat atas sebuah hospital di bandar raya ini. — Bernama

Baca juga: Kanak-kanak maut jatuh laut