Lelaki lontar mercun ke arah polis

kedua-dua suspek telah direman selama dua hari bermula hari ini dan kes disiasat

0
119
polis mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dan dadah manakala suspek kedua pula memiliki empat rekod kesalahan jenayah dan satu kesalahan dadah - Gambar Buletin TV3
polis mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dan dadah manakala suspek kedua pula memiliki empat rekod kesalahan jenayah dan satu kesalahan dadah - Gambar Buletin TV3

KUALA LUMPUR — Polis menahan dua lelaki warga tempatan kerana dipercayai melontar mercun ke arah anggota polis dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di kawasan perumahan Lembah Subang, Kelana Jaya dekat Petaling Jaya, awal pagi Isnin (13 Nov).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata kedua-dua suspek yang berumur lingkungan 20-an itu ditahan di kawasan perumahan terbabit hasil maklumat orang awam.

Menurut beliau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima aduan daripada orang awam memaklumkan terdapat sekumpulan lelaki bermain mercun sehingga mengganggu ketenteraman awam di kawasan perumahan tersebut pada 4.35 pagi.

Bertindak atas maklumat, Mohamad Fakhrudin berkata dua kenderaan peronda dengan dibantu oleh anggota ‘Task Force’ dari Balai Polis Kelana Jaya telah ditugaskan ke lokasi kejadian.

“Semasa pasukan polis tiba di lokasi, didapati seramai kira-kira 50 orang penduduk perumahan tersebut berkumpul menunjukkan perasaan marah akibat bunyi mercun yang berterusan sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Rekod kesalahan suspek

“Anggota dan kenderaan polis yang berada di lokasi kejadian turut dilontarkan mercun oleh suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata semakan polis mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dan dadah manakala suspek kedua pula memiliki empat rekod kesalahan jenayah dan satu kesalahan dadah.

Katanya, kedua-dua suspek telah direman selama dua hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah dan mereka yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu boleh menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya. — Bernama

Baca lagi: Dua lelaki bertopeng, bersenjata pecah masuk kediaman