Kumpul Modal Lebih RM100,000 Untuk Buka Kafe Sendiri – Usahawan

0
101
Kumpul modal lebih RM100,000 jual kek di Medsos, Iylia kini pemilik My Ultimate Bakes
Kumpul modal lebih RM100,000 jual kek di Medsos, Iylia kini pemilik My Ultimate Bakes

Usahawan Nur Iylia Shahriman mengumpul modal selama 3 tahun sehingga berjaya membuka kafe sendiri.

IPOH — Berkat kesabaran, disulami dengan kegigihan dan kerja keras untuk mengumpul modal selama tiga tahun, kini Nur Iylia Shahriman, 32, penggemar tegar minuman kopi, sudah memiliki kafe sendiri.

Pemilik My Ultimate Bakes itu berkata beliau mengumpul modal kira-kira RM100,000 untuk membuka kafe itu yang terletak di Manhattan Business Centre di Jalan Pengkalan Putra kira-kira tiga tahun lepas, hasil jualan kek dan kopi secara kecil-kecilan yang diperolehnya sejak 2017.

Anak jati Batu Gajah itu berkata beliau sememangnya bercita-cita untuk membuka sebuah kedai kopi semasa menuntut di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Auckland, New Zealand kerana beliau sendiri merupakan penggemar tegar kopi. 

Pemegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrikal dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) Seri Iskandar itu berkata beliau mendapat ilham untuk menjual kek pada ketika itu bagi mengumpul modal membuka kedai kopi apabila tamat pengajian di UTP.

“Sebagai permulaan,  saya mula belajar bagaimana mahu menghasilkan kek dengan cara yang betul dan sedap menerusi Youtube kerana ketika itu tidak mampu untuk menyertai mana-mana kursus disebabkan mahu mengumpul modal untuk membuka kafe.

Berniaga Kecil-Kecilan

“Jadi, saya belajar bagaimana mahu membuat kek yang sedap dan Alhamdulillah kek yang dihasilkan mampu menarik minat orang ramai untuk membelinya.

“Pada mulanya saya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah di Batu Gajah dengan hanya membuat kek dan kemudiannya apabila tempahan semakin banyak dan tidak lagi sesuai menjalankan perniagaan di rumah, saya menumpang pejabat ayah saya untuk menjual kek, biskut, brownies dan kopi,” katanya ketika ditemui Bernama di kedainya.

Nur Iylia berkata beliau menggunakan sosial media seperti Facebook, Instagram serta TikTok untuk mempromosikan produk yang dihasillkannya.

Katanya kira-kira 50 jenis pastri, kek dan kopi dijual di kafe itu dan kesemua produk itu dihasilkan setiap hari bagi menjamin kualiti dan kesegarannya.

“Bagi tempahan kek, kebiasaannya kafe ini menerima tempahan untuk majlis perkahwinan dan hari jadi pada hujung minggu dan kami hanya menghasilkan kira-kira 15 biji kek sahaja bagi menjaga kualiti,” katanya yang memiliki lapan orang pekerja setakat ini dan kafe itu setiap hari beroperasi dari pukul 11 pagi sehingga 6.30 petang.

Perancangan Masa Depan

Mengenai perancangan masa depan, Nur Iylia berkata beliau sedang berusaha mengumpul modal untuk membuka banyak lagi cawangan kafe di sekitar negeri ini selain mahu menjual brownies dan biskut secara atas talian untuk pasaran di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya meskipun terdapat persaingan dalam kalangan usahawan kek di pasaran, namun beliau percaya kek yang dihasilkan mempunyai keunikan tersendiri memandangkan setiap penghasilannya mengguna bahan premium berkualiti tinggi bagi memenuhi kepuasan pelanggan.

“Saya menerima apa sahaja maklum balas daripada pelanggan sama ada positif atau negatif kerana dari situ saya dapat mempelajari apa yang perlu diperbaiki pada masa akan datang dan saya sangat menghargai kesemua maklum balas,” katanya.

Beliau turut menjual pelbagai jenis biskut raya di kafe itu sempena Hari Raya Aidilfitri antaranya Biscoff Butter Cookies, Hazelnut London, dan Nutella Butter dan turut menggunakan perkhidmatan kurier untuk pelanggan di seluruh negara dan kira-kira 1,000 balang telah terjual sepanjang Ramadan lepas. — Bernama

Baca juga:
Fly Jalur Gemilang With Pride As Show Of Love For Country – NewMediaHit