KLBA memberi penghormatan kepada legenda badminton Punch Gunalan

Gunalan dihormati sebagai otak di sebalik inovasi Persekutuan Badminton Dunia

0
122
Datuk Gunalan cemerlang sebagai pemain, pengurus dan pentadbir sebelum meninggal dunia pada 2012 pada usia 68 tahun - Gambar mstar.com.my
Datuk Gunalan cemerlang sebagai pemain, pengurus dan pentadbir sebelum meninggal dunia pada 2012 pada usia 68 tahun - Gambar mstar.com.my

KUALA LUMPUR — Tokoh badminton Malaysia Datuk Punch Gunalan sememangnya seorang yang luar biasa.

Legenda badminton itu cemerlang sebagai pemain, pengurus dan pentadbir sebelum meninggal dunia pada tahun 2012 semasa usia beliau 68 tahun.

Gunalan dihormati sebagai otak di sebalik banyak inovasi dalam Persekutuan Badminton Dunia (BWF), yang termasuk format pemarkahan yang dipendekkan, sebagai timbalan presiden mereka selama lebih sedekad.

Di gelanggang pula, Gunalan kekal sebagai satu-satunya pemain Malaysia yang memenangi pingat emas dalam kedua-dua perseorangan lelaki dan beregu dalam satu Sukan Asia.

Dia mencapai kejayaan itu pada 1970 Asiad di Bangkok di mana dia merangkul emas dalam acara beregu lelaki bersama Ng Boon Bee.

Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) mengadakan satu majlis untuk menghormati legasi Gunalan sebelum hari terakhir aksi dalam KL Masters di Stadium Titiwangsa semalam (5 Nov).

Presiden KLBA Datuk Seri Dr Jaharberdeen Mohamed Yunoos berkata inisiatif itu dalam masa sama bertujuan mengenang usaha mendiang yang telah mengharumkan nama negara sehingga persada antarabangsa.

“Orang ramai juga tahu tentang pencapaiannya selain sumbangan dari segi pentadbiran sukan badminton di negara dan juga antarabangsa sama ada di KLBA, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahupun Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Mendiang (Datuk Punch) Gunalan juga merupakan bekas presiden KLBA, jadi kalau persatuan ini tak hargai dia jadi tak munasabah,” katanya kepada pemberita selepas turut menyerahkan plak penghargaan kepada balu mendiang Datin P. Vijeyakumari yang hadir bersama anak lelakinya Dr G. Roshan pada majlis itu.

Manakala Vijeya pula merasa terharu akan penghormatan yang telah diberikan kepada Gunalan.

“Saya amat berterima kasih kepada KLBA kerana mengadakan majlis ini, ia sangat menyentuh hati saya. Saya merasa terharu dan gembira,” kata Vijeya sambil manahan sebak.

Pengurus acara BWF M. Venugopal, yang pernah bekerja dengan Gunalan selama lebih 20 tahun dari 1984, berkata “Kualiti kepimpinannya luar biasa.

“Dia sentiasa berfikir lebih awal. Badminton adalah sepanjang hidupnya. Dia mempunyai sentuhan Midas sebagai pemain dan sebagai pentadbir.

“Dia juga seorang permata dan sentiasa gembira membantu sesiapa sahaja.

“Dia merupakan teladan semasa zaman saya bermain. Sejujurnya, dia seorang yang luar biasa dan sukar digantikan,” ujar Venugopal.

Gunalan juga pernah memenangi emas beregu dalam Sukan Komanwel bersama Boon Bee di Edinburgh, Scotland, pada tahun 1970.

Mendiang juga merangkul emas perseorangan empat tahun kemudian di Christchurch, New Zealand.

Beliau terkenal dengan kepantasan dan kuasanya dan memenangi pelbagai anugerah lain termasuk emas Kejohanan Asia pada 1969 di Manila dalam acara beregu lelaki serta sebahagian daripada pasukan Piala Thomas 1970 yang memenangi perak di Kuala Lumpur.

Gunalan kemudiannya memainkan peranan penting sebagai pengurus pasukan apabila dia membimbing Malaysia meraih emas dalam Piala Thomas 1992 bersama-sama presiden Persatuan Badminton Malaysia ketika itu Tan Sri Elyas Omar.

Mendiang juga pernah memegang jawatan Setiausaha Kehormat BAM dari 1985 hingga 1997.

Jawatan terakhirnya dalam badan sukan badminton Malaysia itu ialah sebagai Timbalan Presiden pada 2005 sebelum meninggal dunia akibat barah pada 15 Ogos 2012. — MalaysiaXpress

Baca lagi: Harapan Chong Wei untuk Zii Jia melengkapkan perjanjian RTG