Khairy Jamaluddin dipelawa bertanding dalam PRN yang akan datang atas tiket Bersatu oleh Muhyiddin Yassin dengan syarat bekas pemimpin Umno itu menyertai Bersatu dahulu.
PETALING JAYA — Bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin ditawarkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negri (PRN) akan datang atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, mereka walaubagaimanapun, masih menunggu keputusan Khairy untuk menyertai parti itu dan menjadi calon pada PRN yang dijangkakan akan berlangsung dalam masa terdekat ini.
Tawaran itu dikemukakan bekas Perdana Menteri dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika bekas menteri kesihatan itu berkunjung ke rumah presiden itu untuk membincangkan masa depannya dalam politik, selepas dipecat Umno.
Dalam satu laporan di Utusan Malaysia, Razali berkata bahawa Muhyiddin menawarkan kepada Khairy untuk bertanding atas tiket Bersatu dalam PRN, jika beliau masih berminat dalam politik.
Khairy Mampu Memantapkan Lagi Parti Bersatu
“Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat ditetapkan, antaranya beliau perlu menghantar borang sebagai ahli Bersatu terlebih dahulu dan kerusi yang ditandinginya akan ditentukan pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN),” kata beliau.
Sehingga kini Khairy masih belum memakluman jawapannya dan menurut Razali lagi, “Beliau meminta sedikit masa untuk membuat keputusan,” sambil menambah beliau secara peribadi mengalu-alukan penyertaan Khairy dalam Bersatu berdasarkan reputasi bekas ketua Pemuda Umno itu dalam politik.
Razali berkata Bersatu juga sedia membuka ‘pintu’ parti kepada mana-mana bekas pemimpin Umno yang dipecat keahlian, jika mereka mampu memantapkan lagi parti tersebut.
Bersatu Sedia ‘Membuka’ Pintu Parti Untuk Ahli Umno Yang Dipecat
“Seperti kita sedia maklum, ramai pemimpin Umno yang dikenakan tindakan dipecat keahlian daripada parti berkenaan.
“Jika mereka mampu memantapkan lagi Bersatu tiada salahnya untuk mereka sertai,” katanya.
Pada 28 Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipengerusikan oleh presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi telah memecat 44 orang ahli, termasuk Khairy dan bekas pengerusi Umno Selangor, Noh Omar.
Sebilangan pemimpin Umno yang lain pula dikenakan hukuman penggantungan keahlian selama enam tahun.
Khairy kalah semasa bertanding untuk kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas. Selepas dipecat dari Umno kerana mengeluarkan kenyataan memburuk-burukkan kepimpinan presiden Umno Zahid Hamidi, Khairy dilantik oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Penasihat Belia Johor dan juga sebagai sebahagian Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Selain itu, Khairy juga memenuhi masanya dengan menjadi seorang Dee Jay sambilan di stesen radio Hot FM.– mediahit