Kerajaan Amal Hak Asasi Manusia Berkonsepkan Islam – Menteri Agama

1
47
Kerajaan Amal Hak Asasi Manusia Berkonsepkan Islam - Mohd Na'im Mokhtar.
Kerajaan Amal Hak Asasi Manusia Berkonsepkan Islam - Mohd Na'im Mokhtar.

Hak asasi manusia yang digunakan dalam dasar kerajaan mempertahankan konsep yang diangkat dalam Islam, dan bukan tertakluk pada nilai yang dibawa oleh negara Barat semata-mata.

KUALA LUMPUR — Kerajaan mengamalkan prinsip hak asasi manusia berdasarkan pendirian negara-negara Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menerusi Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) dan bukan hanya berdasarkan prinsip-prinsip negara Barat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa (UDHR) yang diisytiharkan pada 1948 bukanlah satu-satunya sumber dan konsep hak asasi manusia untuk kerajaan.

Sebaliknya, beliau memaklumkan kerajaan turut mempertahankan prinsip hak asasi berdasarkan pendirian negara Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melalui IPHRC, yang merupakan organisasi di bawah pentadbirannya.

Sebelum ini, terdapat beberapa Ahli Parlimen membangkitkan tentang konsep hak asasi manusia berpandukan Barat dan konsep yang berasaskan Islam, selain mengesyorkan agar konsep hak asasi manusia yang diguna pakai kini diteliti semula.

Anjur Seminar Untuk Membentuk Kefahaman Yang Baik

Selain itu, Na’im berkata bagi membentuk kefahaman yang baik mengenai hak asasi manusia daripada perspektif Islam, kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan seminar dan Konvensyen Hak Asasi Manusia daripada Perspektif Islam.

“Seminar itu membabitkan penyertaan dalam kalangan pegawai kerajaan, wakil badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan wakil agensi-agensi agama persekutuan, dan program ini akan diteruskan bagi memberi kefahaman yang jelas mengenai hak asasi manusia dari perspektif Islam,” katanya lagi.

Menurut beliau, program tersebut akan diteruskan bagi memberi kefahaman yang jelas mengenai perkara ini. Selain itu, Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (Jain) turut menerapkan kefahaman Islam mengenai hak asasi manusia dalam khutbah Jumaat.

“Islam telah mengangkat martabat manusia dengan melarang diskriminasi terhadap wanita dan kanak-kanak, mengajak umat mencintai ilmu dan pendidikan serta mewajibkan pemerintah untuk memberikan hak dan keperluan asas yang diperlukan oleh rakyat seperti kebajikan dan keamanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.

Pendidikan Agama Islam Untuk Orang Asli Belum Mencukupi

Mengulas mengenai pendidikan agama Islam kepada masyarakat Orang Asli yang dikatakan tidak konsisten, , beliau berkata Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) seramai 232 orang yang terdapat di seluruh Semenanjung Malaysia tidak mampu untuk menampung perkhidmatan yang perlu diberikan di semua kampung komuniti itu yang jumlahnya menghampiri 700.

“Ini menyebabkan kelas-kelas pengajian yang dirancang kadangkala tidak dapat dilaksanakan. Selain daripada mengajar, PMOA turut dibebankan dengan tugas membantu Orang Asli berkaitan hal ehwal kebajikan Muslim. Ini juga mampu menyebabkan jadual kelas dirancang terganggu,” katanya.

Beliau memaklumkan kelas pengajian fardu ain secara tidak formal turut diadakan di surau atau dewan sebanyak dua kali seminggu, selain ziarah dari rumah ke rumah serta bimbingan ibadah, dalam usaha memperkasa pengetahuan dan pemahaman agama Islam dalam kalangan masyarakat itu. — Mediahit

Baca juga:
MCMC: Penjara, Denda Sebanyak RM50,000 Memuat Naik Kandungan Berbaur Kebencian Kaum, Agama Dan Institusi Diraja