Kafe saji penjan ubi kayu, mahu makanan tradisi Perak itu dikenali

Mat Rezeki Cafe & Bistro menghasilkan penjan ubi kayu menggunakan karamel untuk cipta kelainan kepada juadah tradisi ini

0
73
Restauran Mat Rezeki Cafe & Bistro - Gambar @TwtKuale
Restauran Mat Rezeki Cafe & Bistro - Gambar @TwtKuale

KUALA KANGSAR– Enggan melihat makanan tradisional negeri Perak terus dilupakan terutama generasi muda, mendorong pemilik restoran memperkenalkan juadah manisan penjan ubi kayu sebagai antara menu menarik yang ditawarkan di Mat Rezeki Cafe & Bistro, sejak enam tahun lepas.

Penolong pengurus restoran, Muhammad Ahsan Hanafi Khairisazizi, 28, berkata keistimewaan penjan ubi kayu yang dihidangkan kepada pelanggan tidak menggunakan gula putih atau gula merah sebaliknya mereka memilih karamel sebagai bahan manisan.

“Memang tujuan kami menghasilkan penjan ubi kayu menggunakan manisan karamel ini adalah untuk cipta kelainan dan beri nafas baharu kepada juadah tradisi ini sekali gus menarik kehadiran pelanggan ke restoran ini.

“Dari segi rasa, penggunaan karamel ini sebagai manisan menghasilkan rasa manis yang lebih ringan, berlemak, lebih harum dan enak berbanding penggunaan gula putih atau gula merah,” kata anak muda kelahiran Kuala Kangsar itu kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata proses penyediaan juadah itu juga tidak rumit berbanding kuih tradisional lain selain hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit untuk menyiapkan satu hidangan.

Tradisi makanan yang diminati pelbagai kaum di Ipoh

“Selepas ubi direbus sehingga empuk, kemudian ia akan dicampurkan dengan cairan karamel dan digaulkan bersama daun pandan bagi menaikkan bau sehingga sebati menggunakan api (dapur) yang sederhana,” katanya.

Muhammad Ahsan berkata juadah tradisi berasaskan ubi kayu tersebut yang dijual dengan harga RM5 sepiring, diminati pelbagai golongan termasuk kaum bukan Melayu.

“Kami boleh jual kira-kira 500 pinggan penjan ubi dalam masa seminggu. Permintaan juadah ini kebiasaannya akan meningkat pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

“Kami mempunyai seorang pelanggan tetap berbangsa India yang kebiasaannya datang ke restoran kami dua atau tiga kali seminggu. Setiap kali datang, hidangan wajib yang dipesan adalah penjan ubi,” katanya.

Pihaknya turut mendapat banyak tempahan luar yang meminati makanan tradisional itu khususnya daripada masyarakat setempat serta pelanggan sekitar Ipoh dan Taiping untuk hidangan kenduri kesyukuran, perkahwinan dan acara keraian di tempat kerja.

Warisan Rasa

Muhammad Ahsan berkata selain penjan ubi kayu karamel, restoran berkenaan turut menawarkan set hidangan ubi kayu rebus.

Tambahnya para pelanggan boleh memilih sama ada ingin merasai hidangan berkenaan bersama sambal ikan bilis, sambal ikan sardin, kari daging atau kari kambing.

“Biasanya ubi kayu rebus ini dicicah bersama gula atau ikan kering tapi di sini kami tampilkan sedikit kelainan melalui sambal ikan bilis, sambal ikan sardin, kari daging atau kari kambing iaitu setiap set hidangan berharga RM5 kecuali bersama kari kambing iaitu RM6,” katanya.

Ditanya tentang maklum balas daripada para pelanggan, katanya ramai menyukainya dan ada dalam kalangan mereka menyifatkan hidangan itu mengembalikan nostalgia serta kenangan lama.

“Ada di antara pelanggan yang beritahu bila menjamah hidangan ini menyebabkan mereka teringat kenangan di zaman kanak-kanak dahulu yang dijadikan menu utama oleh keluarga bagi meneruskan hidup yang serba kekurangan,” katanya. –Bernama

Baca lagi: Karnival Mini Kita Madani Tarik 500 Pengunjung