Selain dari Touch n Go, pengguna punyai pilihan bayaran kad kredit dan debit di lima buah tol
KUALA LUMPUR — Kementerian Kerja Raya (KRR), mengesahkan sistem pembayaran terbuka di lima buah tol lebuhraya menjelang September tahun ini.
Menurut kenyataan Menterinya, Alexander Nanta Linggi, melalui hantaran di Facebook pada Selasa (21 Mac), beliau mengambil maklum isu monopoli Touch n Go (TnG) yang diutarakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Hentikan Monopoli Oleh Touch n GO Di Tol
Tambah beliau, “Sejak awal tahun ini saya sudah mengarahkan perancangan serta perbincangan bersama pihak-pihak terlibat serta syarikat konsesi lebuhraya diadakan bagi mengorak langkah ke arah perlaksanaan open payment system (sistem bayaran terbuka).”
Hasil dari perbincangan ini, beberapa lebuhraya akan melaksanakan sistem bayaran terbuka ini, selewat-lewatnya pada September 2023. Ini bermakna, selain dari TnG , pengguna jalanraya mempunyai pilihan membuat bayaran menggunakan kad debit dan juga kad kredit.
Lima lebuhraya yang akan yang akan menggunakan sistem bayaran terbuka tersebut adalah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie dan juga Jambatan Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, perlaksanaan sistem ini adalah antara inisiatif awal sebagai peralihan ke arah sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).
Alexander turut memberitahu bahawa perlaksanaan penuh MLFF akan dilakukan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.
Lebih Ramai Pemain Industri Akan Diberi Peluang
“Melalui pelaksanaan MLFF, open payment system akan dilaksanakan bagi kutipan tol bagi kesemua lebuhraya di Malaysia dan akan membuka peluang kepada lebih ramai pihak pemberi kemudahan eWallet untuk turut serta dan tiada lagi monopoli oleh pihak TnG.
“Dengan itu, persaingan sihat akan wujud di antara pemain industri yang akan membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuhraya untuk membuat pembayaran tol sekaligus memberikan kemudahan kepada mereka.
“Saya berharap usaha ini akan mendapat kerjasama semua pihak dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada semua terutamanya rakyat dan pengguna lebuhraya di negara ini” katanya lagi.
Pada Ahad lalu, Anwar ketika menjawab soalan seorang peserta dalam program dialog anak muda ‘Temu Anwar’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur memaklumkan, kerajaan akan mempertimbang semula monopoli TnG dalam pengangkutan dan jalan raya.- mediahit