
Wanita itu disiasat atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta menggunakan perkataan kurang sopan, aib atau menghina
KUALA LUMPUR — Seorang penjawat awam wanita yang tular dalam satu klip video menghina anggota polis bawahannya Khamis lepas, telah ditahan awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan berkata wanita berpangkat inspektor berusia 35 tahun itu, ditahan oleh Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di IPD berkenaan pada 1.20 pagi berhubung dua kertas siasatan yang dibuka terhadapnya.
Beliau berkata wanita itu dipanggil kali pertama ke IPD Gombak semalam berhubung insiden pertengkaran dengan dua anggota polis di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Khamis lepas dan hari ini suspek terus ditahan selepas sekali lagi hadir di IPD sama.
“Polis merampas satu telefon bimbit untuk membantu siasatan berkait Seksyen 506 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1.
“Suspek akan diberi jamin selepas siasatan lengkap dijalankan memandangkan terdapat laporan polis lain yang dibuat melibatkan suspek yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selepas video pertengkaran wanita itu dengan anggota bawahan di Batu Caves tular Khamis lalu, satu lagi klip video memaparkan pegawai sama bertengkar dengan orang awam di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Brickfields tersebar sejak semalam.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 5.30 petang kelmarin dan seorang mangsa wanita membuat laporan di IPD Brickfields mendakwa pegawai terbabit memarahi beliau dan keluarganya, serta menuding jari ke arah kepalanya.
Dalam klip video itu, suspek dilihat turut merakam orang awam berkenaan menggunakan telefon bimbitnya sambil mengeluarkan kata-kata tidak sopan dan cuba mencetuskan provokasi. — Mediahit