Inspektor Sheila didakwa lagi sekali

Sheila kali ini didakwa atas pertuduhan mendatangkan kegusaran awam di sebuah pusat beli belah, lima bulan lalu

0
66
Sheila Sharon Steven Kumar @ Inspektor Sheila didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini, kali ini atas pertuduhan mendatangkan kegusaran awam di sebuah pusat beli belah, lima bulan lalu
Sheila Sharon Steven Kumar @ Inspektor Sheila didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini, kali ini atas pertuduhan mendatangkan kegusaran awam di sebuah pusat beli belah, lima bulan lalu

KUALA LUMPUR — Inspektor Sheila yang pernah tular di media sosial berkaitan beberapa insiden, didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini, kali ini atas pertuduhan mendatangkan kegusaran awam di sebuah pusat beli belah, lima bulan lalu.

Sheila Sharon Steven Kumar, 35, atau lebih popular dengan panggilan ‘Inspektor Sheila’, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.

Mengikut kertas pertuduhan, Sheila telah melakukan mudarat dengan memarahi, membunyikan hon keretanya dengan panjang atau lama, dan menjerit sehingga menyebabkan kegusaran kepada orang awam pada pukul 5.26 petang, 16 Jun lalu, di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di daerah Brickfields.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 290 kanun sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM400, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman mencadangkan Sheila diberi ikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Rayuan

Bagaimanapun, peguam, M. Manoharan yang mewakili Sheila, merayu agar anak guamnya dilepaskan dengan bon tanpa ikat jamin dan akan membuat aku janji untuk hadir ke mahkamah pada setiap tarikh prosiding kes yang ditetapkan.

Manoharan berkata, keputusan untuk mendakwa mengikut Seksyen 268 adalah tidak munasabah dan cubaan untuk menakut-nakutkannya.

Kata beliau lagi, keputusan untuk mendakwa seseorang hanya kerana membunyikan hon kereta akan menyebabkan ketakutan di kalangan orang ramai. Manoharan menambah bahawa pertuduhan hari ini terhadap anak guamnya di bawah seksyen ini adalah “yang pertama dalam sejarah negara.”

“Kenapa ini berlaku? Ia seperti pendakwaan tidak mempunyai apa-apa yang lebih baik untuk dilakukan. Adalah memalukan untuk hadir bagi pertuduhan sedemikian di hadapan mahkamah ini. Ia hanya akan membuang masa dan kos mahkamah,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Sheila berdepan tiga pertuduhan mengugut dan mencemarkan reputasi seorang lans koperal dan dua orang awam, masing-masing di hadapan Majistret Chai Guan Hock, dan Nor Hafizah Rajuni. — Malaysiaxpress