Harapan Chong Wei untuk Zii Jia melengkapkan perjanjian RTG

Keputusan seterusnya akan di lanjut dalam mesyuarat

0
113
Zii Jia, atlet ranking ke-11 dunia, adalah satu-satunya yang belum menandatangani kontrak - Gambar Berita Harian
Zii Jia, atlet ranking ke-11 dunia, adalah satu-satunya yang belum menandatangani kontrak - Gambar Berita Harian

KUALA LUMPUR — Sekiranya juara badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia tidak menandatangani perjanjian komitmen (LOC) untuk menyertai program itu menjelang 14 November, jawatankuasa Road To Gold (RTG) akan meneliti tindakan susulan pada mesyuarat seterusnya.

Sebarang keputusan mengenai perkara itu hanya akan dibuat pada mesyuarat itu, menurut ahli jawatankuasa RTG dan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei

“Stuart akan buat tindakan susulan dengan Zii Jia, harap dia boleh selesaikan perjanjian ini dalam tempoh diberikan.

“Keputusan seterusnya akan dibuat dalam mesyuarat, perkara ini tidak dapat diputuskan sendiri,” katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai perjanjian RTG melibatkan Zii Jia, di sini hari ini (1 Nov).

Zii Jia, atlet ranking ke-11 dunia, adalah satu-satunya yang belum menandatangani kontrak.

Dia diberi tempoh 14 hari untuk menunaikan kewajipan itu, menurut kenyataan yang dibuat oleh Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, semalam (31 Okt).

Dua pasangan beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, yang disingkirkan daripada program RTG, mungkin akan ditambah semula jika prestasi mereka bertambah baik, menurut Chong Wei, pengurus pasukan badminton RTG.

Tambahnya, walaupun kedua-duanya telah disingkirkan daripada program itu semalam, mereka terus mendapatkan khidmat sokongan termasuk terapi fizikal.

Kian Meng-Pei Jing kini berada di kedudukan ke-24 dunia, manakala Soon Huat-Shevon di tempat ke-16, bermakna kedua-dua pasangan itu tidak lagi berada dalam kedudukan kelayakan Paris. – Bernama

Baca lagi: Chong Wei menggalakkan pembaikan diri