Hannah Yeoh Enggan Campur Tangan Konflik BAM – Zii Jia

0
70
Hannah Yeoh menolak untuk campur tangan agar tidak menjejaskan prestasi Lee Zii Jia - gambar Kosmo

Tat Meng dalam satu hantaran menerusi laman Instagram berkata beliau benar-benar terkejut dan berasa seperti “dibuli” orang besar selepas BAM

KUALA LUMPUR — Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh enggan campur tangan berhubung kemelut terkini melanda Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia.

Hannah sebaliknya berkata adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak menyelesaikan isu berhubung pemakaian pemain profesional itu yang menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, secara dalaman terlebih dahulu.

Beliau juga enggan mengulas sama ada isu berkenaan mampu menjejaskan prestasi Zii Jia yang dilihat kian merudum sejak kebelakangan ini.

“Saya belum bercakap dengan Zii Jia lagi. Biar BAM selesaikan isu ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kejohanan bola sepak Liga Super Wanita Kuala Lumpur (KLWSL) 2023 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hannah percaya Pengarah Kejurulatihan Team LZJ, Wong Tat Meng perlu diberi masa dengan menumpukan usaha lebih strategik bagi meningkatkan kembali prestasi Zii Jia.

Rabu lepas, Tat Meng dalam satu hantaran menerusi laman Instagram berkata beliau benar-benar terkejut dan berasa seperti “dibuli” orang besar selepas BAM mewajibkan pemain profesional tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu sekiranya mahu berlatih di ABM.

Zii Jia pula dalam satu ruangan komen hantaran Tat Meng berkata: “Jangan nanti cakap saya ‘besar kepala’ tak datang training (latihan) pula. Aishhhhh … susah ni nak jadi LZJ semua salah I (saya) pening”. 

Timbalan Presiden 1 BAM Datuk V. Subramaniam dalam satu kenyataan semalam berkata peraturan itu hanyalah untuk pakaian dan pemain profesional dibenarkan menggunakan raket serta kasut daripada jenama penaja masing-masing ketika berlatih di ABM.

Dalam perkembangan lain, Hannah memberi bayangan beliau sudah mempunyai perancangan berhubung masa depan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang bakal menamatkan perkhidmatannya bulan depan.

“Ketika ini, Ahmad Shapawi sangat sibuk dengan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China serta Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023. Biar beliau fokus kerja berkenaan, perancangannya sudah ada tapi saya mahu simpan dahulu, tiba masanya akan diumumkan,” katanya.

Sukan Asia 2022 dijadual berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Okt manakala LTdL 2023 mulai 23 hingga 30 Sept.

Sementara itu, Pengarah Program KLWSL Khushairi Aizad berkata penganjuran kali kedua kejohanan itu yang akan berlangsung esok hingga 15 Okt ini, akan menghimpun 10 pasukan antaranya KL Sunbears FC, Setiawangsa Rangers FC, Wangsa Maju City FC dan Spicegals FC. — Bernama