Erdogan Menang Pilihanraya Presiden Turkiye

0
26
Erdogan diumumkan sebagai presiden Turkiye. Gambar: FB Recep Tayyip Erdogan
Erdogan diumumkan sebagai presiden Turkiye. Gambar: FB Recep Tayyip Erdogan

Erdogan berjaya mempertahankan jawatan presiden setelah mengatasi pencabarnya Kemal Kilicdaroglu.

ANKARA — Recep Tayyip Erdogan dipilih semula sebagai presiden Turkiye, kata pengerusi Majlis Pilihan Raya (YSK), Ahmet Yener, pada Ahad.

Beliau berkata Erdogan mempertahankan jawatan presiden selepas mengatasi pencabarnya Kemal Kilicdaroglu dalam pilihan raya penentu yang diadakan pada Ahad. 

Menurut keputusan tidak rasmi, beliau memperoleh 52.14 peratus undi manakala Kilicdaroglu mendapat 47.86 peratus undian.

Setakat ini 99.43 peratus peti undi telah dibuka.  

Lebih 64.1 juta orang telah berdaftar untuk mengundi, termasuk lebih 1.92 juta pengundi luar negara dan hampir 192,000 peti undi telah disediakan.

Bercakap kepada beribu-ribu penyokongnya di luar kompleks presiden di Ankara, Erdogan berkata sekarang adalah masa untuk “mengenepikan semua perdebatan dan konflik ketika tempoh pilihan raya dan bersatu untuk mencapai matlamat dan impian negara kita,”

Bercakap di hadapan penyokong-penyokongnya di luar kompleks presiden di Ankara, Ahad, setelah menang pilihanraya. Gambar: FB Recep Tayyip Erdogan.

Keutamaan Kerajaan Memerangi Inflasi

Beliau juga berkata antara keutamaan kerajaan adalah memerangi inflasi dan menyembuhkan luka akibat gempa bumi dahsyat pada 6 Februari yang meragut lebih 50,000 nyawa di Turkiye dan negara jiran, Syria.

Presiden Turkiye ke-13 ini telah dilahirkan pada 26 Februari, 1954 dan membesar di Guneysu, Rize sebelum berpindah ke Istanbul bersama keluarganya pada umur 13 tahun.

Membesar dalam keluarga miskin, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Imam Hatip dan kemudiannya di Universiti Marmara dalam jurusan ekonomi dan sains pentadbiran.

Di Sekolah Imam Hatip, beliau mempelajari Al-Quran dan bahasa Arab. Erdogan juga, pada masa mudanya, merupakan seorang pemain bola sepak separuh-profesional dan stadium bola sepak Kelab Kasimpa S.K., di daerah tempat beliau dibesarkan, kini dinamakan sempena namanya. — mediahit